Skim beli balik senjata susulan serangan masjid Christchurch tamat hari ini
Agensi
Disember 20, 2019 12:13 MYT
Disember 20, 2019 12:13 MYT
Skim beli balik senjata separa automatik yang dilancarkan di New Zealand selepas serangan ke atas masjid di Christchurch pada Mac lalu ditamatkan pada Jumaat.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengharamkan senjata separa automatik dan melancarkan skim membeli balik senjata selepas tembakan oleh seorang individu kulit putih yang disyaki menembak mati 51 umat Islam di dua masjid.
Skim itu juga merangkumi ratusan jenis senjata yang lain, termasuk alat gantian senjata.
Menurut sumber polis, sebanyak 56, 350 senjata dan 188,000 alat gantian senjata telah diserahkan.
Skim berkenaan menyaksikan pemilik senjata akan diberikan wang tunai dan jaminan ‘tiada sebarang soalan akan ditanya’ sebaik mereka menyerahkan senjata yang salah di sisi undang-undang.
“Tiada masa lanjutan akan diberi. Mereka yang gagal berbuat demikian akan kehilangan lesen memiliki dan berdepan penalti sehingga lima tahun penjara,” katanya.
Parlimen meluluskan undang-undang baharu senjata api, yang pertama seumpamanya di negara itu sejak berdekad lalu selepas meraih 119 undi berbalas 1 pada April lalu.
Kerajaan juga sedang mengusahakan pindaan ke atas rang undang-undang senjata kedua, bagi menangani isu antara lainnya berkaitan pendaftaran senjata api.