Skandal Volkswagen: 11 juta kereta bukan 482,000
Ian Johan Ariff
September 22, 2015 23:13 MYT
September 22, 2015 23:13 MYT
DAKWAAN penipuan ujian pelepasan toksik kereta keluaran kumpulan Volkswagen AG melibatkan sekitar 11 juta unit yang menggunakan enjin jenis EA 189.
Dalam satu kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Volkswagen, syarikat Jerman itu turut menegaskan model baharu yang menggunakan enijn diesel EU6 yang kini berada di pasaran mematuhi peraturan standard alam sekitar Eropah.
Berikut pengumuman terbaharu itu, saham Volkswagen menjunam lebih 20% lagi pada Selasa.
Syarikat pembuat kereta Jerman itu turut mengumumkan simpanan dana sekitar AS$7.3 bilion untuk melindunginya akibat kejatuhan berikutan skandal yang menjejaskan reputasi Volkswagen.
Skandal penipuan Volkswagen terhadap ujian pelepasan toksik yang dijalankan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) didedahkan Jumaat lalu.
EPA mendakwa Volkswagen menggunakan sebuah perisian kereta diesel yang memperdaya pengawal selia pengukur pelepasan toksik.
Namun Volkswagen menegaskan perisian yang dibina pada kereta diesel itu tidak memberi kesan kepada kawalan, penggunaan minyak dan juga pengeluaran asap.
Pihak berkuasa Amerika juga mengarahkan Volkswagen memanggil semula hampir setengah juta kereta yang terlibat.
482,000 model kereta yang terlibat termasuk Volkswagen Golf (2009-2015), Beetle, Jetta and Beetle, Volkswagen Passat (2014-2015) and Audi A3 (2009-2015).
Volkswagen AG memiliki beberapa jenama kenderaan ternama di dunia termasuk Audi, Seat, Skoda, Bentley, Bugatti, Porsche dan Lamborghini.