Skandal 1MDB: Dokumentari baharu tentang Jho Low bakal ditayang di AS Sept ini

Astro Awani
Ogos 3, 2023 12:45 MYT
Dokumentari itu akan memaparkan gaya hidup eksklusif Jho Low yang didakwa sebagai perancang utama skandal 1MDB. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Sebuah dokumentari yang bakal menceritakan perjalanan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, akan ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat pada September ini.
Dengan tajuk 'Man on The Run' dokumentari itu akan menayangkan peristiwa pengubahan wang haram terbesar di dunia melibatkan berbilion ringgit dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan akan ditayangkan di New York pada 22 September dan di Los Angeles pada 29 September.
Memetik laporan The Hollywood Reporter, dokumentari itu merupakan terbitan The Smoking Section, dengan kerjasama Evergreen Media, dan diarahkan oleh Cassius Michael Kim yang pernah menerbitkan program ABC News Nightline, sebelum menipta nama melalui CNN Original Series bertajuk The Wonder List with Bill Weir.
Dokumentari itu bakal memaparkan temubual eksklusif bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit kesalahan berkaitan 1MDB.
Turut membuat kemunculan dalam dokumentari tersebut, antara lain, ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan The Hollywood Reporter menyebut, melalui trailer yang boleh ditonton di YouTube, ia memaparkan gaya hidup eksklusif Jho Low yang didakwa sebagai perancang utama skandal 1MDB, dan bagaimana kekayaan luar biasanya digunakan untuk mendekati selebriti terkenal dunia seperti Leonardo DiCaprio, Paris Hilton dan Jamie Foxx.
#1MDB #dokumentari #Najib Razak #Jho Low
;