Situasi kesihatan di Khan Younis umpama malapetaka
Bernama
Januari 23, 2024 15:35 MYT
Januari 23, 2024 15:35 MYT
ISTANBUL: Situasi kesihatan di Khan Younis, sebuah bandar di selatan Semenanjung Gaza kini umpama malapetaka berikutan serangan berterusan Israel, kata Kementerian Kesihatan di Gaza pada Isnin.
Dalam satu kenyataan Kementerian Kesihatan berkata, keadaan kesihatan di Khan Younis berada pada tahap malapetaka yang tidak dapat digambarkan dengan ramai individu yang cedera terbaring di atas lantai Hospital Al-Nasr, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kesukaran dan kelewatan dalam membawa mangsa yang cedera ke Hospital Al-Nasr menyebabkan nyawa mereka dalam bahaya,” menurut kementerian.
Cabaran besar terpaksa dihadapi pasukan kesihatan ketika mereka berusaha merawat puluhan pesakit yang cedera parah, termasuk kekurangan bekalan perubatan dan ubat-ubatan.
Menurut Kementerian Kesihatan serangan Israel turut memaksa penduduk mengebumikan 40 mayat dalam kubur besar di pekarangan Hospital Al-Nasr.
Seorang pewarta AA di wilayah itu melaporkan rakyat Palestin di Khan Younis tidak dapat sampai ke tanah perkuburan kerana pengeboman berterusan tentera rejim dan terpaksa mengebumikan mayat penduduk di pekarangan Hospital Al-Nasr.
Pejabat Media Kerajaan Gaza sebelum ini menyatakan bahawa tentera Israel menyasarkan lima pusat perlindungan penduduk di seluruh Khan Younis yang menjadi tempat perlindungan bagi 30,000 rakyat Palestin.
Kenyataan itu menegaskan bahawa Israel mendakwa pusat perlindungan itu selamat, mengajak rakyat Palestin mencari perlindungan di kemudahan berkenaan namun kemudian tentera penceroboh menyerang premis berkenaan.
Israel turut menyerang Universiti Al-Aqsa, sekolah-sekolah dan pusat perlindungan perindustrian Khan Younis yang mengorbankan banyak nyawa penduduk. - Bernama-Anadolu