Situasi kekok... Ivanka Trump cuba mencelah perbualan pemimpin dunia di G20
Noor Aiman Haziq
Julai 1, 2019 11:39 MYT
Julai 1, 2019 11:39 MYT
SEBUAH video di Instagram menunjukkan suasana yang disifatkan 'kekok' apabila anak perempuan Donald Trump, Ivanka Trump cuba mencelah dalam perbualan antara tokoh-tokoh besar Eropah pada Sidang G20 Sabtu lepas.
Video yang dimuat naik akaun Instagram kediaman rasmi Presiden Republik Perancis, Palais de l’Élysée itu menjadi topik hangat di Twitter, terutamanya dalam kalangan penggiat politik Amerika Syarikat.
Alexandria Ocasio-Cortez, seorang ahli politik dan aktivis ternama Amerika Syarikat (AS), berkata bahawa penyertaan Ivanka mengancam reputasi AS dalam dunia diplomasi.
Dalam video tersebut, kelihatan Ivanka cuba mencelah dalam sebuah perbincangan antara Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri Britain Theresa May, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde.
Sementara itu, pengguna Twitter dan yang mengikuti perkembangan itu juga menyifatkan 'percubaan' Ivanka untuk menonjolkan diri di situ tidak kena pada tempat dan situasinya.
Sidang G20 tahun ini merupakan persidangan antara 19 negara dan Kesatuan Eropah yang mewakili majoriti besar ekonomi dunia.
Ia berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Osaka pada 28 hingga 29 Jun. Lapan tema Sidang G20 pada tahun ini adalah 'Ekonomi Global', 'Perdagangan dan Pelaburan', 'Inovasi', 'Alam Sekitar dan Tenaga', 'Guna Tenaga', 'Pemerkasaan Wanita', 'Pembangunan' dan 'Kesihatan'.
#Amerika Syarikat
#Britain
#CHRISTINE LAGARDE
#Donald Trump
#Emmanuel Macron
#G20
#IMF
#Instagram
#Ivanka Trump
#Perdana Menteri
#politik
#presiden
#Theresa May
#Twitter
#wanita