Situasi hospital di utara Gaza genting - Pengarah hospital
Astro Awani
Oktober 17, 2024 08:40 MYT
Oktober 17, 2024 08:40 MYT
GAZA: Susulan siri serangan ganas tidak berperikemanusiaan dilakukan rejim Zionis di utara Gaza, situasi di hospital kawasan itu kini berada dalam keadaan genting.
Bercakap kepada Al Jazeera, pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safia menyeru agar laluan selamat dibuka segera untuk menyelamatkan pesakit di sana.
Media antarabangsa melaporkan, tentera Israel melancarkan serangan darat sekali lagi di utara Gaza 12 hari lalu, termasuk di Beit Hanoon dan Beit Lahiya.
Dengan kehadiran pesawat pejuang, rejim itu terus membedil kawasan yang dahulu sudah pun berada pada tahap kritikal setelah mengalami beberapa siri serangan sejak perang tercetus.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB pada Selasa menyatakan bahawa tindakan tentera Israel seolah-olah bertujuan untuk "memutuskan hubungan sepenuhnya antara Gaza Utara dengan bahagian lain di Semenanjung Gaza".