Situasi di Zimbabwe: Menteri Luar SADC adakan mesyuarat tergempar
Bernama
November 16, 2017 17:13 MYT
November 16, 2017 17:13 MYT
Satu mesyuarat tergempar menteri-menteri luar Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) akan diadakan tidak lama lagi bagi membincangkan pergolakan politik dan situasi keselamatan di Zimbabwe, lapor agensi berita China Xinhua.
Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma, dalam kapasitinya sebagai pengerusi SADC, telah meminta agar mesyuarat itu diadakan pada Khamis di sekretariat SADC di Gaborone, Botswana.
Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, 93, dilaporkan telah diletak di bawah tahanan rumah sejak Rabu oleh pihak tentera.
Tentera Zimbabwe telah mengumumkan melalui stesen televisyen rasmi negara itu bahawa mereka tidak berhasrat untuk mengambil alih kerajaan, sebaliknya "menyasarkan penjenayah di sekeliling" Mugabe, dan memaklumkan bahawa Mugabe serta keluarganya berada dalam keadaan sihat dan keselamatan mereka adalah terjamin.
Sekretariat SADC berkata mesyuarat tergempar itu akan dihadiri menteri-menteri luar negara anggota badan itu, yang mengamalkan kepimpinan secara bergilir, termasuk SADC Organ Troika yang dianggotai Angola, Tanzania dan Zambia serta Majlis Presiden SADC Afrika Selatan.
Terdahulu pada Rabu, Zuma berkata beliau telah menghantar utusan khas ke Zimbabwe. Menteri Pertahanan dan Keselamatan Afrika Selatan akan bertolak ke Zimbabwe untuk bertemu Mugabe serta pemimpin tentera Zimbabwe.
Utusan khas itu juga akan ke Angola untuk bertemu Presiden Joao Lourenco, pengerusi Organ SADC berkaitan Politik, Pertahanan dan Keselamatan untuk memberikan taklimat mengenai situasi di Zimbabwe.
Menyentuh situasi di Zimbabwe, Zuma mengulangi permintaannya agar rakyat negara itu bertenang dan bersabar serta menggesa pihak tentera Zimbabwe memastikan keamanan dan kestabilan tidak terjejas.
SADC akan terus memantau situasi di Zimbabwe dengan teliti, kata Zuma.
Sebelum itu, Zuma telah berbual dengan Mugabe yang mendedahkan bahawa beliau telah diletak di bawah tahanan rumah oleh pihak tentera namun berkata beliau baik-baik sahaja.
-- BERNAMA
#Jacob Zuma
#keselamatan
#Komuniti Pembangunan Afrika Selatan
#Menteri Luar
#Mesyuarat tergempar
#pergolakan politik
#Robert Mugabe
#SADC
#tahanan rumah
#tentera
#Zimbabwe