Situasi di Xinjiang 'hampir sama' dengan genosid - Penasihat keselamatan AS

Agensi
Oktober 17, 2020 10:44 MYT
Kamera keselamatan dipasang di atas pagar sebuah pusat pendidikan kemahiran vokasional di Dabancheng, dalam wilayah Xinjiang, China, 4 Sept, 2018. - Gambar fail REUTERS
PENASIHAT keselamatan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) menggambarkan layanan terhadap umat Islam di Xinjiang, China “hampir sama” dengan genosid.
“Jika bukan genosid, sesuatu yang hampir sama sedang berlaku di Xinjiang,” kata Robert O’Brien pada Rabu dalam acara Aspen Institute secara maya.
Amerika sebelum ini telah mengecam layanan China terhadap etnik Uighur dan kumpulan minoriti Islam lain di Xinjiang di samping meletakkan sekatan ke atas beberapa pegawai kerajaan yang dipercayai terbabit.
Situasi di Xinjiang bagaimanapun masih belum dilabel oleh Amerika sebagai ‘genosid’ atau pembunuhan beramai-ramai kerana label itu akan menuntut tindakan yang lebih tegas dan implikasi besar terhadap China.
O’Brien merujuk kepada penyitaan oleh pihak kastam AS ke atas “sejumlah besar” produk rambut yang dibuat daripada rambut manusia dari Xinjiang.
“China mencukur kepala wanita Uighur untuk membuat produk rambut dan menghantarkannya ke Amerika Syarikat,” jelas beliau.
Pada Jun lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS memaklumkan telah menahan produk rambut dari Xinjiang yang dipercayai dihasilkan mengguna buruh paksa.
Setiausaha Negeri AS Mike Pompeo pada Jun turut menggambarkan kekerasan terhadap etnik Islam di Uighur termasuk pemandulan, pengguguran dan perancangan keluarga secara paksa.
Namun Pompeo pada bulan lepas memberi bayangan bahawa Washington masih mempertimbangkan penggunaan terma yang serius bagi menggambarkan situasi di Xinjiang.
“Apabila Amerika Syarikat bercakap tentang jenayah terhadap kemanusiaan atau genosid … kita perlu bertindak secara berhati-hati dan tepat kerana ia membawa maksud yang cukup berat,” kata Pompeo.
#China #AS #Washington #Amerika Syarikat #Xinjiang #Uighur #Islam #Beijing #Robert O'Brien #Mike Pompeo #Donald Trump #produk rambut #genosid
;