Situasi di Mesir membimbangkan
Astro Awani
Januari 28, 2013 07:10 MYT
Januari 28, 2013 07:10 MYT
Pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan dengan polis di Kaherah serta Port Said, Mesir berlanjutan dengan jumlah kematian akibat keganasan yang berlaku mencecah hampir 60 orang.
Keganasan bagaikan tidak boleh dihalang walaupun setelah Presiden Mohammed Morsi mengumumkan perintah darurat di tiga kawasan.
Keadaan yang bagai tidak terkawal itu memaksa kerajaan menempatkan pasukan tentera di Port Said dan beberapa bandar sepanjang Terusan Suez.
Langkah berkenaan terpaksa diambil kerana penunjuk perasaan dilihat sudah mula mengancam pentadbiran Mohammed Morsi.
Ratusan anak muda dan orang ramai yang membaling batu ke arah polis di Kaherah menyebabkan seorang dari penunjuk perasaan terbunuh.
Keganasan yang semakin menjadi-jadi terutamanya pada sebelah malam menyebabkan penduduk yang cintakan kedamaian sudah mula tertekan.
Dalam pada itu, Port Said merupakan bandar yang paling teruk terjejas akibat tunjuk perasaan yang dilaporkan secara terus mengganas walaupun sudah menyaksikan 44 orang terkorban.
Ketegangan di negara ini memuncak susulan penunjuk perasaan diadakan sempena ulang tahun kedua revolusi rakyat Mesir menjatuhkan kepimpinan bekas Presiden Hosni Mubarak.
Situasi diburukkan lagi dengan keputusan mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas 21 tertuduh kerana didapati bersalah dengan keganasan bola sepak pada Februari lalu.