Situasi di Hospital al-Shifa cukup menakutkan - Pakar Kesihatan Palestin

Astro Awani
November 17, 2023 06:50 MYT
Keadaan di sebuah bilik pembedahan dalam Hospital al-Shifa ketika sekitaran kawasan itu dikepung Israel, di Gaza, 12 Nov 2023. - Foto REUTERS
SITUASI di Hospital al-Shifa di Semenanjung Gaza cukup menakutkan apabila persekitaran hospital terbesar di Gaza itu dikepung tentera rejim Zionis Israel.
Menurut pakar kesihatan hospital itu, Ahmed El Mokhallalati, keadaan di kompleks kesihatan itu bertambah sukar dan berbahaya untuk orang awam.
Ia terutama apabila tentera Israel sering melepaskan tembakan di kawasan tersebut.
Tentera Israel mula memasuki Hospital al-Shifa pada Rabu.
Mereka mendakwa kumpulan pejuang Hamas mempunyai pusat ketenteraan di kompleks berkenaan serta timbul dakwaan wujud terowong serta kenderaan yang dipenuhi dengan senjata di Hospital al-Shifa.
Bagaimanapun, menurut Ahmed, sehingga kini, tiada sebarang senjata yang ditemui oleh tentera Israel di kawasan hospital sepertimana didakwa.
“Ia adalah situasi yang sangat menakutkan. Di sini, kereta kebal Israel dan tentera Israel bergerak di dalam kawasan hospital, di seluruh hospital. Keadaan ini benar-benar sukar.
"Mereka menembak sepanjang masa, di semua kawasan. Mereka mengebom kawasan-kawasan tertentu di hospital.
"Mereka terus bergerak di sekitar hospital, cuba menghancurkan bangunan dan memastikan diri mereka selamat dengan menembak sesiapa sahaja yang cuba bergerak atau melihat apa-apa dari tingkap atau bergerak di sekitar bangunan hospital," katanya.
Kata Ahmed lagi, keadaan lebih memburuk apabila bekalan makanan dan minuman mulai kehabisan dan bantuan yang diperoleh tidak mampu menampung keperluan semasa di hospital itu.
"Apa yang berlaku ialah, orang ramai, kami kehabisan makanan, kami kehabisan air minuman.
"Kami memutuskan untuk bergerak sebagai satu kumpulan ke luar hospital, melalui pintu masuk dan cuba mendapatkan sesuatu.
"Dan kemudian, semalam, mereka mengaturkan untuk kami sedikit, hanya sedikit makanan dan air, yang sangat sangat minimum, yang hanya cukup mungkin untuk 40 peratus sahaja daripada jumlah orang di sekitar kawasan ini," katanya.
Ahmed juga berkata, tentera Israel ada membekalkan hidangan, namun hanya satu hidangan seperti roti dan air yang sedikit untuk semua orang awam yang berada di kompleks kesihatan al-Shifa.
#Gaza #Ahmed El Mokhallalati #Hospital Al-Shifa #Israel
;