Situasi di Gaza makin meruncing, huru-hara - Agensi Makanan PBB
Bernama
Disember 15, 2023 12:29 MYT
Disember 15, 2023 12:29 MYT
WASHINGTON: Keadaan di Semenanjung Gaza "semakin meruncing dan huru-hara", lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Timbalan Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) Carl Skau.
"Apabila menyentuh mengenai krisis keselamatan makanan -- kami ada buat lawatan semasa jeda kemanusiaan tujuh hari lepas.
"Kami dapati separuh daripada penduduk kelaparan manakala sembilan daripada 10 orang tidak mendapat makanan secukupnya," kata Skau kepada pemberita di New York.
Operasi bantuan kemanusiaan berada di ambang kehancuran dan sukar untuk memastikan operasi ini dapat berjalan dengan lancar berdasarkan situasi terkini.
"Apa yang benar-benar diperlukan ketika ini ialah meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan," katanya.
Israel telah mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat serta mengenakan kepungan sejak 7 Okt.
Sekurang-kurangnya 18,787 rakyat Palestin terbunuh manakala 50,897 cedera setakat ini, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
-- BERNAMA