Sistem penjejakan pesawat terbaharu diperkenal hujung tahun ini - ICAO

AFP
Januari 31, 2015 11:14 MYT
Semua pesawat komersial tidak lama lagi boleh menghantar isyarat automatik setiap minit ketika berdepan masalah ketika penerbangan. -Gambar fail
Semua penerbangan komersial di seluruh dunia tidak lama lagi boleh menghantar isyarat automatik setiap minit ketika berdepan masalah dalam penerbangan.
Langkah ini dibuat bagi memudahkan usaha pasukan penyelamat mencari pesawat yang terhempas sekiranya berlaku kemalangan udara.
Ia susulan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ketika perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing tahun lepas yang masih menjadi misteri besar dalam sejarah penerbangan dunia.
Pesawat dengan 239 penumpang dan kru itu masih gagal ditemui walaupun setelah hampir setahun usaha mencari dan menyelamat dijalankan.
Kaedah pengesanan terbaharu ini akan diserapkan secara berperingkat menjelang akhir tahun ini, kata Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Inisiatif itu akan dibentangkan kepada perwakilan daripada kesemua 191 negara anggota ICAO pada mesyuarat di Montreal bermula Isnin hingga Khamis, dan "satu cadangan akhir" akan dikemukakan kepada Majlis ICAO dalam tempoh enam bulan untuk pengesahan.
Langkah ini mendapat sokongan sebulat suara dalam kalangan negara-negara anggota ICAO, menurut sumber pada Jumaat.
Teknologi radar pada masa ini mampu menjejaki pesawat, namun isyarat liputan radar boleh terganggu apabila pesawat berada di laut atau di bawah ketinggian tertentu.
Di bawah peraturan baharu, syarikat penerbangan diwajibkan mengesan pesawat mereka menggunakan sistem yang menghantar isyarat lokasi pada setiap 15 minit.
#isyarat automatik #MH370 #penerbangan #pengesan #penjejakan #pesawat