Sistem kesihatan lemah, Pyongyang 'belum harap' bantuan... Ini situasi COVID-19 di Korea Utara
Agensi
Mei 13, 2022
13:06 MYT
Media Korea Utara, buat kali pertama mengedarkan gambar Kim Jong-Un yang memakai memakai pelitup muka sewaktu kemunculan umum. - AP
MEDIA antarabangsa pada Khamis sudah melaporkan tentang pelaksanaan sekatan pergerakan di Korea Utara susulan virus korona yang akhirnya membolosi sempadan negara ‘terpencil’ berkenaan.
Sepanjang tempoh seluruh dunia melalui keperitan fasa pandemik dua tahun lalu, negara pimpinan Kim Jong-Un itu dikatakan ‘bebas’ dari sebarang kes, memandangkan dasar menutup pintunya dikatakan menjadi sebab utama.
Kini, dengan kes penularan yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang disahkan maut, dan puluhan ribu lagi individu mula mendapat simptom demam, para pemerhati global sedang menumpukan perhatian pada perkembangan di Korea Utara.
Berikut adalah beberapa perkara yang diketahui tentang situasi semasa:
- Media Korea Utara, buat kali pertama mengedarkan gambar Kim Jong-Un yang memakai memakai pelitup muka sewaktu kemunculan umum sebagai langkah pencegahan jangkitan COVID-19.
Ujian sampel virus yang dikumpulkan pada Ahad dari beberapa individu yang mengalami demam di Pyongyang, mengesahkan bahawa mereka dijangkiti varian Omicron.
Skala penularan tidak dapat direkodkan kerana keterbatasan maklumat.
Kegagalan untuk memperlahankan jangkitan boleh mengakibatkan kesan serius kerana negara itu mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang rendah, dan kebanyakan daripada 29 juta rakyatnya dipercayai belum divaksinasi.
Pakar meramalkan, sekiranya situasi semasa menjadi lebih buruk, Korea Utara terpaksa merendahkan egonya dan meminta bantuan asing.
Selama ini, Pyongyang telah menolak bekalan vaksin yang ditawarkan program pengagihan COVAX, dipercayai kerana Korea Utara meletakkan syarat pemantauan antarabangsa yang sangat ketat.
Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata, pihaknya sedia membekalkan bantuan perubatan kepada Korea Utara, atas nama kemanusiaan. Hubungan kedua-dua negara kekal dingin sejak 2019 apabila rundingan tentang senjata nuklear tidak mencapai kata sepakat.
Di Beijing, Kementerian Luar China memberitahu pihaknya sedia menawarkan bantuan kepada Korea Utara dalam usaha mengawal penularan. Korea Utara sebelum ini pernah menolak tawaran berkaitan bekalan vaksin dari China.
Dalam berdepan masalah COVID-19, aktiviti tentera tetap diteruskan. Tentera Korea Selatan mengesahkan, beberapa jam selepas kes penularan disahkan, Korea Utara tetap melancarkan tiga peluru berpandu ke zon laut. Itu merupakan kali ke-16 ia berbuat demikian tahun ini.
Antara langkah yang diambil sewaktu sekatan pergerakan dikuat kuasa adalah menjalankan kerja sanitasi di bangunan pejabat dan di kawasan perumahan, selain memanfaatkan sepenuhnya bekalan perubatan dalam simpanan negara.
Walaupun menghadapi masalah penularan COVID-19, Jong-Un tetap mengarahkan kerja-kerja pembinaan dan pembangunan agrikultur serta beberapa projek kerajaan diteruskan, untuk mengukuhkan sistem keselamatan negara.