Sistem bayaran digital Indonesia, Singapura dilaksana sepenuhnya tahun depan

Bernama
Ogos 31, 2022 06:25 MYT
Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo berkata langkah itu bertujuan menggalakkan pendigitalan pembayaran rentas sempadan yang menjadi agenda utama pejabat presiden menjelang G20 tahun ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
JAKARTA: Sistem pembayaran melalui Kod Respons Pantas Antarabangsa Standard Indonesia (QRIS) ke Singapursa secara bersepadu akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 2023, menurut Bank Indonesia pada Selasa.
Menurut laporan Xinhua, sistem pembayaran itu memudahkan pengguna melakukan transaksi runcit dengan pantas, selamat dan cekap dengan mengimbas QRIS Indonesia atau QR NETS Singapura.
"Dengan sistem pembayaran bersepadu antara kedua-dua negara, rakyat di Indonesia boleh menggunakan sistem pembayaran digital mereka ketika melakukan transaksi kewangan di Singapura dan sebaliknya," kata Ketua Jabatan Dasar Sistem Pembayaran Bank Indonesia Filianingsih Hendarta kepada wartawan.
Hendarta berkata langkah itu akan memperkasakan individu dan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana untuk menjalankan perdagangan rentas sempadan, e-dagang dan aktiviti kewangan lain dengan cekap, selain membantu pertumbuhan sektor pelancongan.
Kod QRIS Indonesia dilancarkan pada Isnin.
Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo berkata langkah itu bertujuan menggalakkan pendigitalan pembayaran rentas sempadan yang menjadi agenda utama pejabat presiden menjelang G20 tahun ini.
Pendekatan itu juga satu daripada usaha untuk mengatasi halangan yang berpotensi dalam aktiviti pembayaran rentas sempadan dan menyokong pertumbuhan ekonomi pasca pandemik.
-- BERNAMA
#E-dagang #Singapura #Indonesia #QRIS Indonesia
;