Sisi menang pilihan raya Presiden Mesir

Agensi
Mei 29, 2014 23:44 MYT
Abdel Fattah al-Sisi memperolehi 96 peratus undian dalam pilihan raya Presiden. -Gambar fail
Bekas ketua tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menang dalam Pilihan Raya Presiden, 11 bulan selepas menggulingkan bekas Presiden Mohammed Morsi pada Julai tahun lepas.
Kira-kira 96.3 peratus, atau 21 juta pengundi, memilih bekas ketua tentera selepas 312 daripada 352 pusat pengundian dikira.
Pencabar Sisi, Hamdeen Sabbahi memperolehi kurang dari empat peratus undian.
Sebelum keputusan rasmi diumumkan, ratusan pengikut Sisi berarak di jalan raya sambil mengibarkan bendera Mesir, menyalakan bunga api dan membunyikan hon kereta.
"Ia adalah satu kemenangan untuk kestabilan," kata Tahra Khaled, antara yang hadir di Dataran Tahrir Kaherah, tempat yang sama dimana protes besar-besaran diadakan sehingga bekas presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada tahun 2011.
Sisi yang bersara daripada tentera untuk bertanding, menjadi presiden kelima Mesir daripada kalangabn tentera.
Tentera sentiasa menjadi tulang belakang kehidupan politik di Mesir dan ketuanya kerap menjadi pemimpin setelah pihak tentera menggulingkan institusi diraja pada tahun 1952.
Satu-satunya pengecualian adalah Morsi yang dipilih satu tahun selepas kejatuhan Mubarak dimana beliau merupakan seorang bekas komander tentera udara.
"Ramai tidak dapat membayangkan bahawa tiga tahun selepas menggulingkan Mubarak, seorang bekas anggota tentera dipilih sekali lagi dengan kemenangan 96 peratus, tanpa sebarang program atau kempen,” kata seorang penganalisis Karim Bitar.
Namun musuh-musuh politiknya berkata sejak Siri mengulingkan Morsi Julai lalu, Mesir kembali ke sistem autokrasi.
Satu tindakan keras kerajaan mensasarkan penyokong Morsi telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,400 orang mati dalam pertempuran jalanan dan lebih daripada 15,000 yang lain dipenjarakan.
Berpuluh-puluh aktivis muda juga telah dipenjarakan kerana melanggar undang-undang yang mengharamkan perhimpunan.
Satu pasukan dari Kesatuan Eropah yang menjadi pemerhati pilihan raya berkata undian telah dijalankan "selaras dengan undang-undang," walaupun ia kesal dengan kekurangan penyertaan beberapa "pihak berkepentingan" yang merujuk kepada kumpulan Ikhwanul Muslimin dan kumpulan pembangkang dari kelompok belia Mesir.
#Abdel Fattah al-Sisi #Mohammed Morsi #Pilihan Raya Mesir
;