'Sisa mentaliti penjajah ini perlu dihentikan' - WHO kecam kenyataan rasis saintis Perancis
Astro Awani
April 7, 2020 10:46 MYT
April 7, 2020 10:46 MYT
Ketua pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengecam sekeras-kerasnya cadangan beberapa saintis Perancis agar vaksin untuk COVID-19 diuji ke atas rakyat di benua Afrika.
Tambahnya, vaksin tersebut akan diuji di serata dunia, menggunakan protokol yang sama.
"Ada beberapa komen minggu lepas daripada beberapa ahli sains yang berkata pusat ujian vaksin baharu ialah di Afrika.
"Sejujurnya, saya berasa jelik dan ketika saya mengharapkan solidariti, kenyataan rasis seperti ini sebenarnya tidak membantu. Ia menentang solidariti.
"Afrika bukan dan tidak akan menjadi lokasi ujian untuk apa jua vaksin.
"Kita akan ikuti semua peraturan untuk menguji vaksin teurapeutik di seluruh dunia menggunakan peraturan yang sama, sama ada di Eropah, Afrika atau di mana sahaja," kata Tedros.
Beliau menambah mentaliti penjajah tersebut harus dihentikan.
"Untuk menyantuni semua manusia dengan cara yang sama, setara dan sisa mentaliti penjajah ini perlu dihentikan dan WHO tidak akan benarkan ini berlaku.
"Ia sesuatu yang memalukan dan menjelikkan apabila mendengar daripada saintis di kurun ke-21 ini," kata Tedros.
Dalam sidang media berkenaan, Tedros menyatakan benua Afrika akan mengambil pendekatan serantau.
Tambahnya, pendekatan serantau ini akan kemudiannya digunapakai untuk agenda negara di benua tersebut.
Tambahnya, selain pemimpin kerajaan, pemimpin perniagaan di benua Afrika harus turut bersatu kerana usaha untuk membanteras COVID-19 memerlukan sumber yang besar.
Antara perkara yang diperlukan ketika ini adalah peralatan perubatan termasuk kit ujian dan pakaian perlindungan peribadi.
Ketika ini, kes positif COVID-19 di benua Afrika masih rendah dan keutamaan adalah untuk bersedia jika kes meningkat mendadak.