Sisa berkaitan digital melonjak 30 peratus kepada 10.5 juta tan di peringkat global - PBB

Bernama
Julai 11, 2024 13:47 MYT
Tiga pengeluar utama sisa itu pada 2022 ialah China (20.9 peratus), Amerika Syarikat (13.9 peratus) dan Kesatuan Eropah (12 peratus). - Gambar hiasan/Reuters
KUALA LUMPUR: Sisa berkaitan digital telah meningkat sebanyak 30 peratus antara 2010 dan 2022, mencecah 10.5 juta tan di peringkat global, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu laporan.
Menurut "Laporan Ekonomi Digital 2024" oleh Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang dilancarkan pada Rabu, tiga pengeluar utama sisa itu pada 2022 ialah China (20.9 peratus), Amerika Syarikat (13.9 peratus) dan Kesatuan Eropah (12 peratus).
Laporan itu menyatakan ketiga-tiga ekonomi ini menghasilkan lebih daripada 4.9 juta tan metrik sisa peralatan skrin, komputer, IT kecil dan telekomunikasi (SCSIT), hampir separuh daripada jumlah keseluruhan dunia.
Laporan itu juga menyebut negara maju menghasilkan 25 kilogram (kg) sisa digital per kapita, berbanding kurang daripada satu kg di negara membangun dan hanya 0.21 kg di negara kurang membangun (LDCs).
"Sisa berkaitan digital dijangka terus meningkat pesat seperti yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Jumlah sisa elektronik dianggarkan akan meningkat daripada 62 juta tan pada 2022 kepada 82 juta tan pada 2030.
"Bagi SCSIT, peningkatan diunjurkan daripada 10.5 kepada 11.2 juta tan dalam tempoh yang sama," menurut laporan itu.
Laporan itu menyatakan bahawa 23.8 peratus sisa digital dikumpulkan di seluruh dunia pada 2022 dengan kadar pengumpulan hanya 7.5 peratus di negara membangun.
"Kadar pengumpulan tertinggi di dunia dilihat di Amerika Syarikat (62.2 peratus) dan Kesatuan Eropah (59.5 peratus). Di ekonomi membangun, Asia mencatatkan kadar pengumpulan tertinggi (9.5 peratus)," katanya.
Laporan itu juga menekankan bahawa sisa berkaitan digital adalah cabaran global yang memerlukan respons antarabangsa yang diselaraskan.
Ia menyatakan bahawa adalah penting untuk memastikan sisa berkaitan digital tidak dibuang ke negara membangun.
"Oleh itu, terdapat keperluan untuk mengimbangi keperluan untuk tidak membuang sisa berkaitan digital di negara membangun dengan keupayaan untuk memanfaatkan peluang kitaran dan pembangunan daripada perdagangan antarabangsa dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (EEE) terpakai," katanya.
Sementara itu, UNCTAD mendesak komuniti antarabangsa untuk melaksanakan dasar komprehensif yang menggalakkan ekonomi digital kitaran, meminimumkan kesan alam sekitar dan merapatkan jurang digital.
"Kebanyakan negara membangun memerlukan pendigitalan selanjutnya untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam ekonomi global.
"Usaha segera dan terselaras daripada kerajaan, pemimpin industri dan masyarakat sivil adalah penting untuk pembangunan digital yang mampan dan inklusif," katanya.
-- BERNAMA
#sisa elektronik #sisa digital #pengeluar utama #PBB #telekomunikasi