Siri kelak boleh rumus notifikasi pada iPhone - dengan sokongan integrasi AI

Amanz
Mei 20, 2024 09:20 MYT
Apple dijangka membolehkan Siri berinteraksi dengan lebih baik, walaupun tidak menyatakan sebarang kata kunci pada pertanyaan lanjutan bersama Siri. - Foto Amanz
APPLE sedia dikatakan sedang membangunkan Siri generasi baharu yang dilengkapi dengan sokongan kecerdasan buatan berbentuk generatif bersama dengannya.
Ia juga dijangka membolehkan Siri berinteraksi dengan lebih baik, walaupun tidak menyatakan sebarang kata kunci pada pertanyaan lanjutan bersama Siri.
Di samping itu, kini Bloomberg turut berkongsi menyatakan Apple sedang membangunkan sokongan kecerdasan buatan untuk Siri yang akan menawarkan beberapa perkara baharu, termasuk kebolehan untuk merumuskan notifikasi pada iPhone pengguna.
Ini sekali gus akan memudahkan anda mengikuti pelbagai perkara penting pada telefon, tanpa perlu membuka satu per satu notifikasi.
Siri juga akan kelak boleh meringkaskan sesuatu berita, melakukan transkrip untuk memo suara, serta penambahbaikan pada gambar yang dirakamkan.
Namun, beberapa ciri dijangka akan menawarkan sokongan asas – dan tidak menyeluruh seperti pesaing-pesaing lain di pasaran.
Apple dijangka akan berkongsi lanjut perancangan mereka dalam arena kecerdasan buatan ini pada acara WWDC 2024 yang dijadualkan pada awal Jun 2024 kelak.
#siri #Apple #notifikasi #iPhone
;