Siri kebakaran belukar di Queensland mencurigakan - Polis Australia

Bernama
November 1, 2023 22:39 MYT
Menurut kemas kini terbaharu kerajaan Queensland, terdapat 76 kebakaran aktif di seluruh negeri setakat pukul 6.30 pagi waktu tempatan Rabu, dengan 58 struktur rosak di Western Downs. - Queensland Fire And Emergency Services via AP
SYDNEY: Polis Australia sedang menyiasat punca kebakaran belukar di empat lokasi di wilayah Sunshine Coast Queensland sejak dua minggu lalu memandangkan puncanya mencurigakan.
Polis Queensland dalam satu kenyataan berkata kebakaran di Beerah sekitar pukul 10.30 pagi waktu tempatan berhampiran Jalan Stokes pada Ahad sengaja dilakukan.
Satu lagi insiden kebakaran pada Sabtu di kawasan Beerwah - Landsborough juga sedang disiasat, lapor Xinhua.
Kebakaran yang dilihat semakin merebak menyebabkan pengisytiharan darurat dibuat di bawah Akta Pemeliharaan Keselamatan Awam lewat malam yang sama.
Pegawai juga sedang menyiasat sama ada kebakaran rumput dicetuskan dengan sengaja di Jalan Sattler, Meridan Plains pada 23 Okt sekitar pukul 9 malam waktu tempatan, selepas seorang pelaku cuba pecah masuk ke sebuah perniagaan dengan memotong kunci pagar.
Selain itu, kebakaran hutan di Beerwah pada 21 Okt juga dianggap sebagai mencurigakan.
Pegawai juga sedang menyiasat mengenai dua lagi insiden kebakaran pada 21 dan 23 Okt lalu.
Menurut kemas kini terbaharu kerajaan Queensland, terdapat 76 kebakaran aktif di seluruh negeri setakat pukul 6.30 pagi waktu tempatan Rabu, dengan 58 struktur rosak di Western Downs.
-- BERNAMA
#Queensland #kebakaran #khianat #polis
;