Sirah Nabi Muhammad SAW akan ‘lebih hidup’ selepas ini…
Hilal Azmi
April 26, 2024 08:50 MYT
April 26, 2024 08:50 MYT
MADINAH: Forum Umrah dan Ziarah 2024 yang pertama kali diadakan di Madinah menyaksikan kehadiran lebih 4,000 peserta dari pelbagai latar belakang menutup tirainya hari ini.
Pakar dari pelbagai sektor dan latar belakang hadir untuk berinteraksi dan menjana idea dalam usaha untuk mencari penyelesaian meningkatkan kapasiti jemaah umrah serta memperkayakan pengalaman umrah buat umat Islam.
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah dalam ucapan penutupnya mendedahkan terdapat 19 juta pengunjung yang mengunjungi Raudah di Masjid Nabawi pada dua tahun kebelakangan.
Ini bermakna, Madinah kini menjadi keutamaan Arab Saudi dalam usaha menjadikan negara itu sebagai destinasi terbaik buat semua umat Islam.
Akan tetapi, terdapat tiga perkara yang wajar kita pelajari daripada sesi forum ini.
Pertama: Jangan takut untuk melabur dalam teknologi baharu
Arab Saudi sangat serius dalam mencari jalan terbaik bagi memastikan sirah Nabi Muhammad SAW dapat diceritakan dan diberi pengalaman dengan penuh bermakna kepada semua umat Islam.
Justeru, penggunaan teknologi baharu amat penting memandangkan teknologi sedia ada ketika ini mampu memberi pengalaman yang mengasyikkan.
Sebagai contoh, penggunaan teknologi reality maya (virtual reality) dan XR (extended reality) pada muzium As-Safiyah dan Muzium Sirah Nabi Muhammad SAW di Madinah nyata membawa pengalaman luar biasa buat pengunjung.
Kita tahu, tak semua teknologi yang baharu sesuai digunakan pada cerita berkaitan sejarah.
Tetapi, penerokaan teknologi ini yang dibuat kerajaan Arab Saudi mampu mencambah pemahaman umat Islam yang mengunjunginya.
Kedua: Galakan pelaburan awam-swasta
Arab Saudi kelihatan amat agreasif dan kreatif dalam memanfaatkan program kerjasama awam-swasta bagi menjayakan Wawasan Arab Saudi 2030.
Salah satu daripada aspirasi Wawasan Arab Saudi 2030 ialah meningkatkan kapasiti umrah agar lebih ramai umat Islam mendapat akses untuk mengerjakan ibadah berkenaan.
Antara inisiatif yang digerakkan termasuklah pembangunan aplikasi Nusuk bagi tujuan menguruskan permit masuk ke Raudah di Masjid Nabawi dan juga permit untuk mengerjakan umrah di Masjidil Haram, Mekah.
Ketiga: Raikan idea segar untuk masa depan yang baik
Segala kerjasama yang dibuat serta inisiatif yang digerakkan sentiasa membabitkan golongan muda serta idea-idea segar dari umat Islam di seluruh dunia.
Keupayaan Arab Saudi menganjurkan sesi seperti Forum Umrah dan Ziarah 2024 membuktikan keterbukaannya dalam usaha meraikan ruang bersuara dan berkongsi pandangan demi kebaikan umat Islam secara keseluruhannya.
Di samping itu, penglibatan syarikat pemula dari seluruh dunia juga diraikan menerusi program seperti hackathon turut memeriahkan forum kali ini.
Secara keseluruhannya, gabungan format pameran dan forum kali ini dilihat mampu merancakkan lagi usaha bagi melicinkan proses serta perjalanan jemaah umrah ke Arab Saudi di masa depan.
Bukan sahaja menghidupkan kembali cerita sejarah Nabi Muhammad, tetapi menjadikan kisah sejarah itu sebagai satu gaya hidup yang sesuai dengan perkembangan zaman.