Sinovac sedia hadapi gelombang baharu peningkatan jangkitan COVID-19

Israr Khalid
Julai 13, 2021 23:16 MYT
Sinovac juga yakin vaksin yang dibangunkan dapat menangkis ancaman varian terbaharu virus COVID-19. - Gambar fail/ Reuters
Kuala Lumpur: Pembangun dan pengeluar vaksin berpangkalan di China, Sinovac Biotech Co. Ltd. bersedia untuk menghadapi gelombang seterusnya peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh dunia ekoran kemunculan varian baharu yang disifatkan lebih mengancam.
Pengarah Kanan Pengurusan Pengawalseliaan Luar Negara Sinovac Biotech Co. Ltd, Weining Meng, berkata usaha membangun dan memvaksin mengambil masa namun mereka sedang melakukan yang terbaik.
Katanya, usaha menghasilkan vaksin juga dipertingkatkan, dengan ketika ini mereka mencapai kadar pengeluaran vaksin sehingga sekitar 4 bilion dos setahun bagi memenuhi permintaan tinggi dari serata dunia.
“Ia bermakna setiap bulan kami akan menghasilkan lebih 300 juta dos vaksin.
“Kami sudahpun membekalkan lebih daripada 1.2 bilion dos ke serata dunia, dan akan terus meningkatkan pembekalan kepada negara-negara membangun,” katanya.
Ketika varian Alpha, Beta, Gamma dan Delta semakin memburukkan keadaan di seluruh dunia, wujud kebimbangan ramai terutamanya penerima vaksin Sinovac sama ada dos yang diterima berupaya menjadi pendinding teguh kepada varian mutasi virus korona itu.
Di pihak Sinovac jelas Weining, mereka terus mengikuti perkembangan virus tersebut menerusi pasukan penyelidikan dan pembangunannya dan vaksin yang dibangunkan adalah berdasarkan data dan sampel terkini yang diperoleh dan dicerap dengan teliti.
Maka menurutnya, Sinovac bersedia untuk berdepan dan melawan varian baharu serta sebarang varian yang akan muncul kelak.
“Walaupun kami mempunyai data dari fasa 3 namun kami tetap memberi tumpuan kepada situasi terkini epidemik ini.
“Vaksin terbaharu kami yang dapat melawan varian terkini sudah sedia dan kami menggunakan strain virus Gamma terasing dari Brazil, dan usaha tetap diteruskan mengikut setiap perkembangan terbaharu,” ujarnya.
Tonton temu bual penuh Weining dalam Agenda AWANI bersama hos, Rizal Dzulkapli, di sini:
Agenda AWANI: Ancaman varian baharu COVID-19 & keberkesanan vaksin
#Agenda Awani #Sinovac #vaksin #gelombang baharu #varian berbahaya #Delta #beta #Alpha #Weining Meng
;