Singapura umum kawalan eksport, sekatan ke atas bank Rusia
Nailah Huda
Februari 28, 2022 17:50 MYT
Februari 28, 2022 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Singapura bertindak di luar kebiasaan negara ASEAN dengan mengenakan kawalan dan sekatan ke atas Rusia berikutan serangan ke atas Ukraine.
Menurut Menteri Luar, Vivian Balakrishnan, Singapura akan melaksanakan kawalan eksport ke atas barangan yang boleh digunakan sebagai senjata secara langsung untuk mencederakan rakyat Ukraine berikutan serangan tentera Rusia.
Singapura juga, kata beliau, akan menyekat beberapa bank Rusia dan transaksi kewangan berkaitan dengan negara itu.
Beliau memaklumkan dalam satu kenyataan kementerian berhubung pencerobohan Rusia di Ukraine bahawa perincian sekatan tersebut akan dimuktamad dan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kami masih menghargai hubungan baik bersama Rusia dan rakyat Rusia. Namun, kami tidak boleh menerima pelanggaran kedaulatan dan integriti sesebuah negara berdaulat.
“Kami akan terus bekerjasama dengan ASEAN dan rakan-rakan sekutu antarabangsa untuk mengambil pendekatan tegas terhadap pencerobohan Rusia serta menamatkan keganasan dan meredakan ketegangan,” ujarnya pada Isnin.
Beliau juga mengulas mengenai peranan Singapura sebagai antara 82 negara yang menandatangani draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang mengecam keganasan Rusia terhadap Ukraine.
“Singapura sentiasa mematuhi sepenuhnya kepada sekatan dan keputusan oleh UNSC. Namun, kami jarang bertindak melaksanakan sekatan ke atas negara lain tanpa keputusan atau arahan daripada UNSC.
“Bagaimanapun, memandangkan skala serangan Rusia ke atas Ukraine belum pernah lagi berlaku sebelum ini serta veto oleh Rusia terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan, Singapura ingin bertindak selaras dengan banyak negara lain yang sehaluan untuk mengenakan sekatan dan larangan bersesuaian terhadap Rusia,” ujarnya.
Balakrishnan turut mengakui bahawa langkah tersebut mungkin mendatangkan kerugian kepada perniagaan dan rakyat Singapura.
“Namun, sehingga negara kita mengangkat prinsip yang menjadi asas kepada kebebasan dan kedaulatan negara-negara kecil, hak kita untuk wujud dan berjaya sebagai sebuah negara juga mungkin dipersoalkan suatu hari nanti.”
Selain Singapura, rata-rata negara anggota ASEAN yang lain menyatakan pendirian neutral berhubung krisis yang semakin meruncing antara Ukraine dan Rusia.
Kementerian Luar Indonesia pada Jumaat menekankan kepentingan undang-undang antarabangsa serta mengecam serangan ketenteraan terhadap Ukraine, namun, tidak menyebut peranan Rusia dalam konflik berkenaan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berharap penyelesaian aman dapat dicapai antara Ukraine dan Rusia, namun tanpa menyatakan mana-mana pihak bertanggungjawab atas pencerobohan di Ukraine.