Singapura, UK tandatangani FTA
Astro Awani
Disember 10, 2020 00:09 MYT
Disember 10, 2020 00:09 MYT
SINGAPURA: Singapura dan United Kingdom (UK) menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam usaha memastikan kelangsungan perniagaan antara kedua-dua negara.
Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing berkata, menerusi perjanjian berkenaan, syarikat dari kedua-dua negara akan menikmati manfaat sama seperti mana yang dialami menerusi FTA EU-Singapura.
Ia melibatkan pemansuhan tarif untuk barangan dan akses kepada perkhidmatan dan perolehan kerajaan.
Ia juga menyaksikan pengurangan sekatan bukan tarif, termasuk empat sektor utama melibatkan sektor elektronik, kenderaan bermotor dan alat kenderaan, produk farmaseutikal dan alat perubatan dan penjanaan tenaga boleh diperbaharu.
Perjanjian yang ini ditandangani Chun Sing dan Setiausaha Negara bagi Perdagangan Antarabangsa UK Elizabeth Truss ini meliputi dagangan bernilai S$30 billion.
Rundingan perdagangan antara UK dan Kesatuan Eropah (EU) masih berlangsung, 10 bulan selepas UK sah keluar dari blok berkenaan.
Kerajaan UK pimpinan Boris Johnson sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mengadakan perjanjian perdagangan secara bilateral setelah tidak lagi bersama EU.
Ia sebelum ini sudah memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Jepun.
Ia juga sudah memuktamadkan 23 persetujuan perdagangan melibatkan 52 negara menerusi konsep mutatis mutandis.
#EU
#United Kingdom
#Singapura
#Jepun
#perubatan
#Kesatuan Eropah
#Boris Johnson
#FTA
#perjanjian perdagangan bebas