Singapura ucap tahniah kepada Tun M sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh
Mei 10, 2018 06:00 MYT
“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada Tun (Dr) Mahathir dan pasukannya, dan berharap untuk bertemu dengan beliau tidak lama lagi,” kata Lee menerusi catatan terkini dalam laman Facebooknya.
“Malaysia ialah rakan penting Singapura, dan rakyat kita mempunyai ikatan yang kukuh dan mendalam. Saya menaruh harapan untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir dan kerajaan baharu demi meningkatkan kerjasama. Kita boleh melakukan yang lebih baik secara bersama,” kata beliau dan mengakhiri catatan dengan singkatan nama LHL.
Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia yang ketujuh di Istana Negara di Kuala Lumpur untuk mencipta sejarah sebagai perdana menteri tertua di dunia yang terpilih.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura berkata rakyat Malaysia telah memberikan mandat yang jelas kepada kerajaan baharu untuk memimpin negara.
“Malaysia ialah jiran Singapura yang terdekat dan rakan penting. Kita menjalin hubungan yang rapat dan kerjasama yang luas dengan kerajaan Malaysia termasuk dengan kerajaan Tun (Dr) Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.
“Kami menaruh harapan untuk bekerjasama dengan Tun (Dr) Mahathir dan kerajaan baharu Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala demi kepentingan rakyat kita,” kata beliau dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA