Singapura tutup jalan raya sebagai inisiatif Hari Bebas Kenderaan bermula Februari
Astro Awani
Januari 1, 2016 00:00 MYT
Januari 1, 2016 00:00 MYT
NEGARA jiran Singapura akan memulakan tempoh percubaan selama enam bulan hari bebas kenderaan di beberapa jalan raya bermula Februari ini.
Lapor akhbar The Straits Times, jalan raya yang ditutup sepanjang 4.7 kilometer di Daerah Sivil (Civil District) dan Daerah Pusat Perniagaan (Central Business District) pada hari Ahad terakhir setiap bulan bermula 28 Februari.
Ia akan memberi peluang untuk pelbagai aktiviti rekreasi diadakan khususnya untuk penunggang basikal dan pejalan kaki.
Menurut Naib presiden Asia Tenggara Aecom Scott Dunn yang terlibat dalam projek Hari Bebas Kenderaan di Kuala Lumpur, inisiatif sebegini menawarkan “penggunaan bernilai tinggi” untuk jalan raya pada hujung minggu.
“Ia merupakan penggunaan ruang yang hebat untuk mewujudkan peluang untuk orang ramai berinteraksi dan melakukan perkara-perkara yang mereka biasanya tidak dapat untuk melakukannya di jalan raya,” kata beliau kepada The Straits Times.
Untuk inisiatif ini, keseluruhan jalan raya di sekitar kawasan Padang akan ditutup mana sebahagian jalan raya di Fullerton Road, Shenton Way dan Robinson Road akan ditutup dari pukul 7 pagi hingga 9 malam.
Pihak Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) juga akan melantik syarikat pengurusan acara untuk menjalankan program-program sempena hari bebas kereta.
Di Kuala Lumpur, inisatif sebegini dimulakan pada Januari 2014.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat, acara bulanan itu diadakan bertujuan mengurangkan kadar pelepasan gas karbon dioksida di kota raya Kuala Lumpur.