Singapura tubuh agensi baharu untuk perkukuh kesiapsiagaan kesihatan awam

Bernama
Februari 13, 2025 19:30 MYT
Singapura akan menubuhkan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 1 April, sebagai langkah penting dalam usaha negara itu memperkukuh keupayaan pengurusan penyakit berjangkit dan kesiapsiagaan kesihatan awam. - Foto hiasan
SINGAPURA: Singapura akan menubuhkan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 1 April, sebagai langkah penting dalam usaha negara itu memperkukuh keupayaan pengurusan penyakit berjangkit dan kesiapsiagaan kesihatan awam.
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa lembaga berkanun baharu di bawah kementerian itu akan menyatukan fungsi kesihatan awam berkaitan pengesanan, pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit.
Fungsi ini sebelum ini diagihkan antara ibu pejabat MOH, Lembaga Penggalakan Kesihatan dan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
CDA akan memberi tumpuan kepada lima bidang utama, termasuk mencegah penularan penyakit menerusi pendidikan awam, dasar vaksinasi serta langkah pencegahan dan kawalan jangkitan.
Agensi itu juga akan mengetuai serta menyelaras usaha kesiapsiagaan kesihatan awam, bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membina kesediaan sektor menghadapi krisis penyakit berjangkit, selain melindungi kepentingan negara seperti pembangunan dan akses kepada vaksin serta terapi.
"Penubuhan CDA akan membolehkan kerajaan bertindak balas dengan pantas terhadap wabak penyakit menerusi tindakan kesihatan awam bersepadu serta memainkan peranan penting dalam melindungi Singapura daripada ancaman penyakit berjangkit," menurut MOH.
Pengarah Eksekutif NCID Prof Vernon Lee akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CDA berkuat kuasa 1 April dan akan melepaskan jawatannya di NCID pada hari yang sama.
Lee telah memberikan sumbangan besar dalam bidang kesihatan awam di Singapura serta inisiatif kesihatan global, termasuk terlibat dalam tindak balas terhadap wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, pandemik influenza 2009, wabak Zika 2016 dan terbaru, pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#Singapura #kesihatan awam #Agensi Penyakit Berjangkit #Kementerian Kesihatan
;