Singapura tingkatkan kawalan keselamatan sempena Krismas

Astro Awani
Disember 24, 2016 09:34 MYT
Kawalan keselamatan akan dipertingkat khususnya di lokasi mercu tanda utama negara. - Foto AFP
Rakyat Singapura diingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dengan kemungkinan dalam persekitaran yang membawa kepada ancaman keselamatan, terutamanya selepas kejadian serangan di Berlin, Jerman dan tangkapan suspek keganasan di Jakarta, Indonesia.
“Serangan terkini di pasar yang peling kerap dikunjungi sewaktu Hari Krismas di Berlin dan tangkapan suspek di Jakarta adalah peringatan bahawa keganasan adalah bahaya yang ‘jelas serta bersifat semasa’,” kata Menteri Pertahanan republik itu, Ng Eng Hen, pada Jumaat.
Portal ChannelNewsAsia melaporkan, Ng bagaimanapun berkata, rakyat Singapura tidak boleh membiarkan ketakutan ini merampas cara hidup mereka.
“Jika kita berasa begitu, pengganas telahpun menang.
“Dengan kedatangan cuti hujung minggu yang panjang selama 3 hari, ramai warga Singapura akan menyambut Hari Krismas. Ia perlu disambut, walaupun kewaspadaan aspek keselamatan dipertingkat di bandar raya-banadar raya di sekeliling kita,” ujarnya dalam ssatu kenyataan di Facebook.
Pada masa sama, Ng menyampaikan rasa terima kasih kepada anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang bertugas sepanjang waktu semasa musim perayaan untuk melindungi negara.
Katanya, anggota tentera Singapura akan memantau keselamatan di lokasi mercu tanda di lapangan terbang Changi, menjalankan pemantauan pesisiran dan bersiap siaga jika sebarang insiden seumpamanya berlaku.
Pegawai tentera laut juga akan memantau kawasan perairan dengan kapal-kapal peronda, sementara tentera udara republik itu turut menjaga ruang udara daripada sebarang pencerobohan.
“Kita berterima kasih kepada mereka ini, termasuk anggota pasukan dalam negara yang memastikan kita selamat. Kita semua perlu berwaspada, walaupun ketika sedang meraikan kemanan dan keselamatan yang kita nikmati di Singapura,” ujarnya.
#aktiviti keganasan #ancaman keselamatan #Krismas #rakyat singapura
;