Singapura teroka peluang bantuan kemanusiaan lebih banyak ke Gaza
Bernama
Jun 12, 2024 16:49 MYT
Jun 12, 2024 16:49 MYT
SINGAPURA: Singapura akan terus meneroka peluang untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk memastikan pengagihan bantuan yang cekap dan tepat pada masanya kepada mereka yang memerlukan, kata Wakil republik itu ke Pihak Berkuasa Palestin, Hawazi Daipi.
Sehingga kini, kerajaan Singapura telah bekerjasama dengan Mesir dan Jordan untuk menghantar tiga peringkat bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang terjejas di Gaza.
Rakyat Singapura juga dengan murah hati menderma kepada usaha pengumpulan dana oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan lebih S$15.5 juta (S$1=RM3.48) telah dikumpulkan setakat ini.
"Pada Mac 2024, kami telah mengerahkan sebuah pesawat C-130 atas undangan kerajaan Jordan untuk menggugurkan lebih 20 tan bekalan makanan atau kira-kira 60,000 makanan ke Gaza selama dua minggu.
"Kami juga mengerahkan pasukan perubatan di atas kapal FS Dixmude Angkatan Bersenjata Perancis pada Jan 2024 untuk membantu merawat mangsa warga Palestin," menurutnya dalam kenyataan yang dikemukakan pada Persidangan Peringkat Tinggi "Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza" di Jordan pada Selasa.
Kenyataan itu dikongsi oleh Kementerian Luar (MFA) Singapura pada Rabu.
Persidangan yang dianjurkan bersama oleh Raja Jordan, Raja Abdullah II, Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, berusaha untuk menangani keperluan kemanusiaan kritikal yang timbul daripada krisis yang berterusan di Gaza dan bagaimana masyarakat antarabangsa dapat menyokong usaha bantuan.
Hawazi menyatakan bahawa NGO seperti Palang Merah Singapura dan Mercy Relief juga sedang mengusahakan rancangan untuk menghantar bekalan makanan dan perubatan yang sangat diperlukan serta membantu operasi bantuan yang berterusan.
Sementara itu, Singapura mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata kemanusiaan segera dan semua pihak membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang segera, selamat dan tanpa halangan kepada orang awam yang terjejas di Gaza.
"Kami juga terus menggesa agar semua tawanan dibebaskan dengan segera, selamat dan tanpa syarat. Kami berharap untuk menamatkan penderitaan kemanusiaan yang telah berlangsung terlalu lama," tambahnya.
Hawazi berkata Singapura juga mengulangi sokongannya terhadap penyelesaian dua negara yang dirundingkan selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan, dengan menyatakan ini adalah satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai penyelesaian yang komprehensif, adil dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin.
MFA dalam satu kenyataan berasingan berkata Hawazi di luar persidangan itu bertemu dengan Menteri Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin (PA) Dr Maged Abu Ramadan dan Menteri Pembangunan Sosial Dr Samah Abuoun Hamad.
Hawazi menekankan komitmen Singapura untuk menyokong usaha pembangunan kapasiti PA dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pentadbiran awam, dengan lebih 750 pegawai PA telah mendapat manfaat daripada program latihan dan biasiswa pascasiswazah yang disediakan oleh Singapura setakat ini.
-- BERNAMA