Singapura tawar pakej bantuan kepada Indonesia dan Malaysia atasi jerebu

Bernama
Jun 10, 2014 07:18 MYT
Singapura tawar bantuan atasi jerebu kepada Malaysia dan Indonesia
Singapura menawarkan bantuan kepada Indonesia dan Malaysia untuk mengatasi kebakaran di daratan dan hutan yang mungkin berlaku menjelang musim kemarau.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air berkata, ini bagi mengelakkan satu lagi episod jerebu merentas sempadan yang teruk daripada menjejaskan rantau ini.
Bantuan itu adalah dalam bentuk bantuan memadamkan kebakaran dan perancangan daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura dan bagi operasi pembenihan awan.
Jerebu asap merentas sempadan akibat kebakaran di daratan dan hutan semasa musim kemarau dari Jun hingga Oktober menjadi masalah yang berulang di rantau selatan Asean sejak beberapa dekad lalu.
Pembukaan tanah secara haram dan amalan membakar hutan untuk pertanian di Indonesia, terutama di Sumatera dan Kalimantan, telah dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran yang menyebabkan jerebu merentas sempadan di rantau ini.
Jerebu paling buruk melanda Singapura pada 2013 apabila Indeks Standard Pencemaran (PSI) mencecah paras 246 pada 20 Jun 2013, jauh melebihi paras pada 1997 (138) dan 2006 (128).
Memandangkan kemungkinan fenomena El Nino melanda rantau ini tahun ini, kementerian berkata tahap jerebu di rantau ini boleh mencapai paras paling buruk tahun ini jika kebakaran tidak dipadamkan di peringkat sumber.
Pada tahun-tahun lepas, Singapura menawarkan pakej bantuan kepada Indonesia untuk menangani kebakaran hutan.
Awal tahun ini, Singapura juga dilanda jerebu dari Semenanjung Malaysia.
Pada Mac 2014, PSI mencapai tahap sederhana dan mencapai paras tertinggi 75 pada 12 Mac, 2014.
Kerajaan Singapura juga menawarkan bantuan kepada Kerajaan Malaysia untuk mengatasi kebakaran di daratan dan hutan jika keperluan seperti itu timbul.
#bantuan #Indonesia #jerebu #Malaysia #Singapura
;