Singapura tarik semula produk kicap manis, sos sambal keluaran Indonesia
Agensi
September 8, 2022 12:51 MYT
September 8, 2022 12:51 MYT
SINGAPURA: Selepas penarikan semula produk kicap dari Malaysia, Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan tiga lagi produk makanan ditarik balik selepas mengesan bahan alergen yang tidak diisytiharkan.
Memetik kenyataan SFA, tiga produk tersebut adalah produk Kicap Manis ABC, Sambal Sos Ayam Goreng ABC dan Krim Wafer Fukutoku Seika.
Dua produk makanan ABC yang diimport dari Indonesia itu didapati mengandungi sulfur dioksida.
Penarikan semula Kicap Manis ABC itu melibatkan bekalan yang diimport oleh New Intention Trading bertarikh luput pada 26 Jun 2024.
SFA memaklumkan Sos ABC Sambal Ayam Goreng diimport oleh Pengedar Arklife bertarikh luput pada 6 Januari 2024 juga dikesan mengandungi asid benzoik yang tidak diisytiharkan di label pembungkusan makanan.
Dalam pada itu, produk krim wafer jenama Fukutoku Seika dari Jepun turut dikesan mengandungi putih telur dan tepung gandum yang tidak diisytihar.
Penarikan semula produk keluaran Sinhua Hock Kee Trading ini bertarikh luput pada 20 April 2023.
Dalam perkembangan berkaitan, portal Kompas.com melaporkan Timbalan III Pengawasan Makanan Proses di Jabatan Pengawasan Ubat dan Makanan Indonesia (BPOM), Rita Endang memaklumkan proses import kicap dan sos ABC di Indonesia secara asasnya telah melalui prosedur yang betul.
“Dua produk ABC adalah berdaftar dan diedarkan secara sah di Indonesia. Hasil pemantauan, syarikat pengedar juga mematuhi persetujuan pendaftaran termasuk maklumat tentang penggunaan sulfat,” katanya.
Tambah Rita, SFA juga menyatakan bahawa kandungan sulfat tidak menimbulkan isu keselamatan kepada pengguna, kecuali mereka yang mengalami masalah alergi.
Sementara itu, Kraft Heinz Indonesia selaku pengeluar produk memberi maklum balas menerusi Ketua Undang-Undang Korporatnya Mira Buanawati, bahawa kemasukan produk yang dikaitkan itu ke Singapura merupakan tindakan import paralel yang dilakukan oleh pengedar tidak rasmi dan tidak melalui koordinasi dengan PT Heinz ABC Indonesia, iaitu perusahaan dan pemilik resmi jenama ABC.