Singapura tangguh hantar rombongan jemaah haji 2021

Bernama
Mei 27, 2021 04:00 MYT
MUIS yakin sepenuhnya dengan pengurusan pandemik Arab Saudi, dan langkah-langkah yang sesuai akan dilaksanakan sekiranya Haji 2021 diteruskan. - Twitter
SINGAPURA: Singapura memutuskan untuk tidak menghantar rombongan jemaah menunaikan haji di Arab Saudi tahun ini memandangkan pandemik COVID-19 global masih berterusan.
Majlis Agama Islam Singapura (Muis) mengatakan keadaan pandemik di seluruh dunia tetap menunjukkan peningkatan dan menjadi perhatian utama, dengan penyebaran varian baharu virus dalam beberapa bulan terakhir.
"Semakin banyak negara di dunia melaporkan gelombang jangkitan baharu dan bulan-bulan akan datang mungkin akan lebih mencabar.
"Meskipun banyak negara telah memulakan vaksinasi mereka, kadar vaksinasi di banyak negara masih rendah pada saat ini," menurut Muis dalam laman webnya pada Khamis.
Pihak MUIS yakin sepenuhnya dengan pengurusan pandemik Arab Saudi, dan langkah-langkah yang sesuai akan dilaksanakan sekiranya Haji 2021 diteruskan.
Namun, Singapura mempunyai pertimbangan sendiri untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan jemaah Singapura, katanya.
Muis menambah Jawatankuasa Fatwa menyokong keputusan itu, dengan mempertimbangkan kesihatan dan keselamatan jemaah.
Muis berkata, ia akan mengatur semula giliran bagi jemaah yang terjejas ke tahun haji berikutnya.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #Haji #varian baharu #MUIS #Singapura #pandemik #COVID-19 #Majlis Agama Islam Singapura #vaksinasi
;