Singapura tampil peraturan khusus untuk mengundi pada pilihan raya umum
Bernama
Julai 1, 2020 21:24 MYT
Julai 1, 2020 21:24 MYT
Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) pada Rabu mengumumkan pendekatan bagi membolehkan kumpulan tertentu mengundi pada pilihan raya umum akan datang, selaras dengan perkembangan semasa pandemik COVID-19.
Jabatan itu berkata kira-kira 350 pesakit COVID-19 serta mereka yang sedang menjalani Perintah Kuarantin (QO) tidak akan dibenarkan mengundi pada pilihan raya umum ini yang dijadualkan pada 10 Julai.
Peraturan itu bertujuan meminimumkan kontak mereka dengan orang ramai dan mengurangkan risiko penularan komuniti, menurut jabatan itu dalam taklimat media secara maya berhubung pelaksanaan hari mengundi nanti, di sini pada Rabu.
Menurutnya Kementerian Kesihatan Singapura telah dirujuk berhubung peraturan-peraturan berkenaan bagi melindungi keselamatan dan kesihatan semua, termasuk pengundi, calon dan pegawai pilihan raya.
ELD berkata satu lagi kumpulan kira-kira 360 pengundi dinasihatkan untuk duduk di rumah, dan tidak bergaul dalam komuniti bagi mengelak penularan.
Mereka adalah kalangan pengundi yang dikenakan "Notis Duduk Di Rumah" (SHN), yang mendapat cuti sakit bagi "Acute Respiratory Infection" (ARI), atau yang mengalami demam, dengan suhu badan 37.5 darjah dan ke atas.
Bagaimanapun ELD berkata oleh kerana ia faham dengan kehendak pengundi yang mungkin tetap berhasrat melaksanakan hak mereka untuk mengundi, satu tempoh mengundi khas antara pukul 7.00 malam dan 8.00 malam dikhususkan bagi mereka untuk mengundi.
"Sekiranya pengundi dari kumpulan ini muncul di tempat mengundi semasa waktu mengundi biasa, mereka tidak akan dibenarkan mengundi, dan diarah untuk kembali antara pukul 7.00 malam dan 8.00 malam," menurut kenyataan itu.
ELD berkata pada masa yang sama, pengundi biasa seharusnya mengelak daripada hadir pada waktu mengundi khas itu.
Sementara itu bagi mereka yang dikenakan SHN di kemudahan yang ditetapkan, mereka akan dibenarkan untuk mengundi di pusat mengundi khas.
Ketika ini terdapat 2,651,435 pengundi, termasuk 6,570 pengundi di luar negara.
-- BERNAMA
#calon
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#koronavirus
#Media
#pandemik
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#Singapura