Singapura tamatkan 3G secara berfasa mulai 1 Ogos

Bernama
Julai 24, 2024 08:22 MYT
Pada masa ini, lebih 99.9 peratus pelanggan mudah alih Singapura sudah menggunakan 4G/5G, dengan pelanggan 3G hanya merangkumi kurang daripada 0.1 peratus. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Rangkaian 3G Singapura yang diperkenalkan lebih 20 tahun lalu akan ditamatkan secara berfasa mulai 1 Ogos, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Rabu.
IMDA memaklumkan bahawa proses itu akan dimulakan dengan M1, satu daripada tiga pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang menyediakan perkhidmatan 3G di negara berkenaan.
"IMDA telah memantau kemajuan MNO dengan teliti.
"Memandangkan semua pelanggan 3G individu dan perusahaan M1 telah beralih kepada perkhidmatan 4G/5G, M1 akan memulakan proses menamatkan rangkaian 3G mereka bermula 1 Ogos 2024," menurut IMDA dalam satu kenyataan.
Dua lagi MNO iaitu Singtel dan StarHub akan melanjutkan tempoh masa kepada pelanggan 3G mereka untuk beralih kepada perkhidmatan 4G/5G dan akan terus membantu pelanggannya.
Singtel dan StarHub merancang memulakan proses menamatkan perkhidmatan 3G mereka mulai November 2024.
IMDA telah meminta MNO untuk memastikan semua pelanggan, sama ada individu mahupun perusahaan beralih ke rangkaian 4G/5G sebelum menghentikan perkhidmatan 3G.
Jika perkara ini tercapai, MNO boleh mula menghentikan perkhidmatan 3G mulai 31 Julai.
MNO juga dikehendaki menyediakan pelbagai pelan perkhidmatan dan pilihan telefon bimbit 4G/5G serta menyokong perusahaan dan membantu mereka mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk beralih ke rangkaian 4G/5G.
Sejak Februari 2024, IMDA menghentikan import dan penjualan peranti mudah alih 3G di Singapura bagi mencegah peningkatan jumlah peranti itu di pasaran.
Peruncit atau penyedia perkhidmatan bukan telekomunikasi yang menggunakan perkhidmatan mudah alih 3G, seperti pengeluar kereta dan penyedia perkhidmatan pengurusan kenderaan turut dimaklumkan mengenai rancangan untuk menghentikan rangkaian 3G itu.
Mereka dikehendaki mengambil langkah-langkah pengurangan yang diperlukan dan memaklumkan pengguna mereka.
IMDA berkata bahawa penamatan 3G akan membuka kapasiti spektrum yang dapat dilaburkan dalam rangkaian 5G yang bersedia untuk masa depan, menyediakan pengalaman mudah alih yang lebih baik dan menyokong transformasi digital perusahaan.
Pada masa ini, lebih 99.9 peratus pelanggan mudah alih Singapura sudah menggunakan 4G/5G, dengan pelanggan 3G hanya merangkumi kurang daripada 0.1 peratus.
IMDA berkata langganan 5G juga telah mendapat sambutan sejak diperkenalkan pada 2022, merangkumi 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelanggan mudah alih pada hari ini dan peratusan ini terus meningkat.
-- BERNAMA
#Singapura #rangkaian 3G #ditamatkan secara berfasa #perkhidmatan 5G