Singapura siap siaga, DORSCON tanda warna, koronavirus jingga

Razak Chik
Februari 9, 2020 23:19 MYT
Singapura mengukur tahap kesediaan menghadapi kemungkinan pandemik global melalui penanda DORSCON yang kini di tahap jingga. - Gambar REUTERS
REPUBLIK Singapura meletakkan satu pulau dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi penularan koronavirus baharu dengan menggunakan warna sebagai tanda pengukur tahap dan status bahaya.
Awal minggu lalu pada Selasa 4 Februari, Menteri Kesihatan Singapura Gan Kim Yong mengumumkan keadaan Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (Disease Outbreak Response System Condition) atau DORSCON pada tahap kuning.
Kuning merupakan kod warna kedua rendah dalam mengukur tahap keupayaan dan kesediaan Singapura menghadapi cabaran kesihatan mengikuti protokol terkandung dalam Pelan Persediaan Pandemik (Pandemic Preparedness Plan) republik itu.
Terdapat empat kod warna – Hijau (terendah), Kuning, Jingga, Merah (paling serius) – yang diguna sebagai penanda aras tahap penularan penyakit di Singapura.
Ini adalah kali kedua, Singapura mengambil langkah mengaktifkan DORSCON Kod Jingga kerana sudah wujud peningkatan tahap bahaya akibat penularan sesuatu wabak penyakit.
Pada 2009, Kod Jingga juga diishtihar apabila rantau ini menghadapi ancaman virus H1N1 dengan penularan wabak selsema babi.
DORSCON tidak wujud pada 2003 apabila epidemik sindrom pernafasan akut teruk (SARS) melanda. Pada waktu itu, tahap siap siaga juga berada pada tahap Kod Jingga sekiranya DORSCON wujud pada waktu itu.
Kod Jingga diisytihar pada 7 Februari apabila tahap ancaman penularan penyakit kepada kesihatan umum berada di tahap berat (severe) dan mudah berjangkit antara manusia. Namun penyebaran belum meluas dan keadaan masih terkawal.
Ini disebabkan pada masa itu terdapat empat kes penularan tanpa sebarang kaitan dengan China mahupun hubungan fizikal dengan pesakit yang sedia ada. Ini bermakna virus itu bebas menular dan menyebabkan jangkitan dalam komuniti setempat.
Kod Jingga meletakkan tanggung jawab ketat kepada rakyat Singapura termasuk:
*Penganjur acara dinasihatkan menangguh acara besar; jika perlu juga diadakan, suhu badan peserta perlu dipantau, mereka yang kurang sihat dilarang menyertai, peserta perlu memberi tahu jika ada ke China, tempat majlis tidak terkurung-terkepung (well-ventilated), kemudahan cuci tangan yang mencukupi, usaha pembersihan yang kerap dan mendaftar pengunjung.
*Pekerja yang batuk, demam dan suhu melebihi 38 darjah selsius perlu diberi cuti untuk berihat.
*Aktibiti antara sekolah atau luar kelas dihenti serta-merta sehingga akhir cuti bulan Mac nanti.
*Guru sekolah rendah perlu membawa anak murid ke tandas untuk membasuh tangan sebagai persiapan untuk waktu rehat.
Terbaharu, pengendali pengangkutan awam Singapura mengambil tindakan pertingkat tahap kebersihan kemudahan dan peralatan yang diguna orang awam.
Tempat duduk dan rel pemegang dibersih mengguna pencuci berubat (disinfectant).
Pekerja pengangkutan juga mengukur suhu badan masing masing sebelum memulakan syif kerja bagi menentukan mereka tidak mengalami demam atau selsema. Mereka juga mengambil langkah kerap membasuh tangan dan mengambil langakah kerbersihan peribadi.
Bagi pemandu kereta sewa pula, mereka dinasihatkan membuka tingkap selepas setiap perjalanan bertujuan mengitar pusingan udara dalam kenderaan sekerap mungkin.
#DORSCON #Gan Kim Yong #H1N1 #kod jingga #kod kuning #Menteri Kesihatan Singapura #penularan koronavirus #SARS #Singapura
;