Singapura selaras caj tol sepadan kadar tol Malaysia di Linkedua bermula 31 Mac

Bernama
Mac 16, 2023 17:53 MYT
Sama seperti semakan Malaysia, kadar tol standard akan dikenakan sepanjang hari kerana tiada lagi kadar waktu puncak atau waktu luar puncak yang ditawarkan.- Gambar hiasan/BERNAMA
SINGAPURA: Singapura akan selaraskan caj tol di Pusat Pemeriksaan Tuas mulai 31 Mac 2023, sepadan dengan semakan kadar tol oleh Malaysia baru-baru ini untuk Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuh Raya Linkedua.
"Pelarasan itu selari dengan dasar Singapura yang menyamakan dengan kadar tol Malaysia," kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) republik itu di laman sesawangnya hari ini.
Menurut agensi itu, semakan akan melibatkan semua kategori kenderaan kecuali motosikal.
LTA menyatakan tiada perubahan pada kadar tol di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Kadar tol baharu untuk Kereta ialah pada S$2.10; Van/Kenderaan Barangan Ringan (S$5.60); Kenderaan Barangan Berat (S$11.30); Teksi (S$1.60); dan Bas (S$2.50).
Sama seperti semakan Malaysia, kadar tol standard akan dikenakan sepanjang hari kerana tiada lagi kadar waktu puncak atau waktu luar puncak yang ditawarkan.
Pada 25 Feb 2023, menurut pengumumuan PLUS Malaysia Bhd di laman sesawangnya, mulai 1 Mac 2023, kadar tol waktu luar puncak di Plaza Tol Tanjung Kupang akan diselaraskan kepada kadar biasa.
"Dengan penyelarasan ini, pengguna semua jenis kenderaan yang melalui Plaza Tol Tanjung Kupang di lebuh raya Linkedua akan membayar tol dengan kadar biasa seperti mana kadar yang dicajkan pada waktu puncak pada ketika ini.
Pada 2018, sebagai langkah menggalakkan orang ramai beralih ke Plaza Tol Tanjung Kupang untuk keluar dan masuk ke Singapura, PLUS telah memperkenalkan kadar tol waktu luar puncak kepada pengguna lebuh raya di Plaza Tol Tanjung Kupang.
Menurut PLUS, walaupun pelaksanaannya sudah melebihi lima tahun, langkah itu kurang mendapat sambutan.
Berdasarkan rekod, jumlah trafik harian yang menggunakan Plaza Tol Tanjung Kupang didapati masih sama seperti mana yang dicatatkan sebelum kadar waktu luar puncak itu ditawarkan.
"Tiada sebarang peningkatan trafik ketara di waktu luar puncak bagi Plaza Tol Tanjung Kupang," menurut PLUS.
Data trafik turut menunjukkan lebih 50 peratus daripada kenderaan yang menikmati kadar tol waktu luar puncak di plaza tol itu merupakan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura.
Kadar tol baharu bagi Kereta ialah RM6.14; van/Kenderaan Barangan Ringan (RM17.10); Kenderaan Barangan Berat (RM34.30); Teksi (RM4.67); dan Bas (RM7.45).
Tiada caj untuk motosikal di kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
#caj tol #Singapura #pusat pemeriksaan Tuas #LINKEDUA
;