Singapura sekat laman web judi berkuatkuasa 2 Feb

Bernama
Januari 28, 2015 21:37 MYT
Matlamat mengawal selia judi jarak jauh ini antara lain untuk mengurangkan potensi 'merosak' terutama golongan muda - Gambar Hiasan
Laman web yang menyedia, mengiklan atau mempromosi perkhidmatan judi jarak jauh akan disekat mulai Isnin (2 Feb) sebaik saja Akta Judi Jarak Jauh (RGA) dikuatkuasakan, demikian diumumkan Kementerian Dalam Negeri (MHA).
Dalam satu kenyataan, MHA berkata transaksi bayaran berkaitan aktiviti judi jarak jauh haram akan juga disekat.
RGA diluluskan di Parlimen pada 7 Okt tahun lepas.
Matlamat mengawal selia judi jarak jauh ini antara lain untuk mengurangkan potensi 'merosak' terutama golongan muda, kata kenyataan itu.
Di bawah akta itu, adalah satu kesalahan bagi seseorang berjudi secara jarak jauh dengan pengusaha haram, memberi kemudahan kepada orang lain berbuat demikian, atau memberi perkhidmatan judi jarak jauh haram.
Sementara itu, Lembaga Pembangunan Media (MDA) dalam satu kenyataan berkata akta berkenaan tidak meliputi 'game' yang tidak, sebagai sebahagian daripada reka bentuknya, membolehkan pemain menerima hadiah atau ganjaran berharga hasil daripada permainan game berkenaan.
Yang demikian akta itu tidak meliputi 'sosial game'seperti Farmville dan Candy Crush Saga dalam bentuknya sekarang.
Bagaimanapun, ia melarang game ala-kasino yang memberikan pemain peluang untuk memenangi wang atau ganjaran dalam bentuk barangan.
#judi #kasino #online #RGA #Singapura
;