Singapura saksikan peningkatan 30 peratus penagih dadah baharu bawah 20 tahun pada 2024 - CNB
Bernama
Februari 12, 2025 16:20 MYT
Februari 12, 2025 16:20 MYT
SINGAPURA: Jumlah penagih dadah baharu berusia bawah 20 tahun yang ditahan di Singapura meningkat 30 peratus pada 2024, mencerminkan trend membimbangkan dalam kalangan belia, menurut laporan terbaharu Biro Narkotik Pusat (CNB).
Laporan Situasi Dadah Singapura 2024 yang dikeluarkan pada Rabu (12 Feb), mendedahkan bahawa lebih separuh daripada penagih baharu yang ditahan dalam tempoh dua tahun lalu berusia bawah 30 tahun.
"Pada 2024, penagih termuda yang ditahan berusia 13 tahun, jauh lebih muda berbanding purata umur mula terjebak dengan dadah iaitu 16 tahun, seperti didedahkan dalam tinjauan pada 2022 oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).
"Meskipun situasi dadah di Singapura secara umumnya terkawal, trend penagihan dalam kalangan belia masih menjadi kebimbangan," menurut laporan itu, sambil menyatakan bahawa angka bagi 2024 masih bersifat sementara.
Secara keseluruhan, jumlah penagih yang ditahan mencatat sedikit penurunan daripada 3,122 pada 2023 kepada 3,119 pada 2024, namun jumlah penagih baharu meningkat daripada 952 kepada 966 dalam tempoh sama.
Methamphetamine, heroin dan ganja kekal sebagai tiga jenis dadah paling banyak disalahgunakan pada 2024, dengan 95 peratus mereka yang ditahan menyalahgunakan sekurang-kurangnya satu daripada bahan itu.
Bagi penagih baharu, methamphetamine, ganja dan ekstasi merupakan tiga jenis dadah utama yang disalahgunakan, dengan 92 peratus daripada mereka menggunakan sekurang-kurangnya satu daripada bahan terlarang itu.
Sepanjang 2024, CNB merampas dadah bernilai kira-kira S$13.5 juta di pasaran dan berjaya menumpaskan 25 sindiket dadah, termasuk yang beroperasi melalui platform Telegram.
Pemangku Pengarah CNB, Leon Chan berkata CNB kekal teguh dalam usahanya membanteras dadah, termasuk menyiasat individu yang terlibat dalam pengubahan wang haram hasil daripada aktiviti itu serta merampas aset mereka.
"Sambil kami meneruskan tindakan penguatkuasaan dan bekerjasama dengan rakan kongsi serta penggerak DrugFreeSG dalam program pendidikan pencegahan dadah, kami menyeru masyarakat untuk bersama-sama menentang ancaman dadah," katanya.
-- BERNAMA