Singapura sahkan tujuh lagi kes jangkitan koronavirus

Bernama
Februari 8, 2020 21:30 MYT
Menurut kementerian itu, dua daripada kes-kes baharu yang disahkan mempunyai kaitan dengan mesyuarat perniagaan persendirian yang berlangsung di Grand Hyatt Singapore dari 20 Jan hingga 22 Jan. - gambar hiasan
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan tujuh kes baharu jangkitan novel koronavirus 2019 (nCoV) di republik itu, menjadikan jumlahnya kini 40.
Lima daripada jumlah berkenaan mempunyai kaitan dengan kes-kes yang diumumkan sebelum ini, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
"Antara kes-kes baharu yang disahkan itu melibatkan pemandu teksi, dan pemandu peribadi kereta sewa," tambahnya.
Menurut kementerian itu, dua daripada kes-kes baharu yang disahkan mempunyai kaitan dengan mesyuarat perniagaan persendirian yang berlangsung di Grand Hyatt Singapore dari 20 Jan hingga 22 Jan.
Kes-kes baharu itu melibatkan enam warga Singapura serta seorang pemastautin tetap, dan kesemua mereka tiada rekod perjalanan baru-baru ini ke China.
Dalam maklumat kemas kini kes-kes yang disahkan, Kementerian Kesihatan Singapura berkata dua telahpun dibenarkan keluar hospital, empat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dalam keadaan kritikal, dan satu memerlukan sokongan oksigen tambahan.
-- BERNAMA
#Grand Hyatt Singapore #kes baharu #korononavirus #nCoV #novel koronavirus 2019 #Singapura