Singapura sahkan tiga kes tempatan jangkitan virus Zika
Bernama
Mei 12, 2023 23:34 MYT
Mei 12, 2023 23:34 MYT
SINGAPURA: Singapura mengesahkan tiga kes tempatan jangkitan virus Zika dengan semua kes melibatkan sama ada mereka yang tinggal atau bekerja di Kovan, kawasan yang terletak di bandar Hougang.
"Dua orang berada di rumah dan semakin pulih manakala seorang dirawat di hospital dan stabil. Tiada siapa daripada tiga kes itu hamil," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) republik itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Zika, penyakit bawaan nyamuk, antara gejala jangkitan termasuk demam, ruam, sakit sendi dan otot, sakit kepala dan konjunktivitis.
Bagaimanapun, ramai yang dijangkiti tidak mengalami gejala.
Walaupun jarang berlaku, jangkitan virus Zika terhadap wanita hamil boleh merencatkan perkembangan otak janin dan mengakibatkan bayi dilahirkan dengan kepala kecil, dikenali 'microcephaly'.
Sama seperti virus denggi, jangkitan virus Zika disebarkan terutamanya oleh nyamuk Aedes.
-- BERNAMA