Singapura ramal El Nino terus memuncak pada separuh kedua 2023, risiko jerebu rentas sempadan
Bernama
Mei 30, 2023 23:09 MYT
Mei 30, 2023 23:09 MYT
SINGAPURA: Perkhidmatan Meteorologi Singapura (MSS) meramalkan fenomena El Nino akan memuncak pada separuh kedua 2023 dengan kemungkinan 70-80 peratus berlaku.
Menurut MSS, Dwikutup Lautan Hindi (IOD) yang positif juga diramalkan meningkat dalam tempoh ini.
"Kedua-dua fenomena iklim itu dijangka membawa keadaan lebih panas dan kering ke Singapura dan wilayah sekitarnya dari Jun hingga Oktober 2023, dan ini akan meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Singapura dan rantau ini," menurut MSS di laman web sesawangnya hari ini.
Sejak awal tahun ini, sudah terdapat tanda-tanda yang menyokong peningkatan El Nino dalam beberapa bulan akan datang.
"Ini termasuk suhu lautan bawah permukaan yang lebih panas yang berlaku di timur Pasifik tropika, yang biasanya merupakan pendahulu kepada El Nino," menurut MSS
El Nino memberi pengaruh terbesar ke atas taburan hujan di Singapura ketika musim Monsun Barat Daya dari Jun hingga September selain membawa suhu yang lebih panas ke republik itu.
Semasa fenomena El Nino terakhir pada 2015/2016, jumlah hujan di Singapura dari Jun hingga September 2015 kira-kira 35 peratus di bawah purata jangka panjang.
Suhu purata Singapura dalam tempoh Jun-September 2015 ialah 28.8 darjah Celsius atau 0.6 darjah Celsius melebihi purata jangka panjangnya untuk tempoh itu.
Bagi tempoh Mac-April 2016, suhu purata Singapura ialah 29.2 darjah Celsius atau 1.2 darjah Celsius melebihi purata jangka panjangnya untuk tempoh itu.
El Nino adalah punca utama tetapi bukan satu-satunya pemacu dalam sistem iklim bumi.
"IOD adalah satu lagi fenomena iklim yang boleh mempengaruhi cuaca di sekitar Lautan Hindi tropika. Kebanyakan model komputer dari pusat iklim global meramalkan bahawa IOD positif mungkin meningkat dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang," menurut MSS
Semasa kejadian IOD positif, suhu permukaan laut di timur Lautan Hindi adalah lebih sejuk, menyebabkan kurangnya pembentukan awan manakala hujan kurang daripada purata di timur Lautan Hindi dan kawasan sekitarnya termasuk Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Singapura.
MSS memberi amaran bahawa keadaan yang lebih kering dan lebih panas adalah kondusif untuk berlaku kebakaran tanah gambut dan belukar.
"Oleh itu, titik panas boleh meningkat mulai Jun 2023 dalam tempoh cuaca kering yang berpanjangan, terutama di kawasan yang terdedah kepada kebakaran.
"Ini akan meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Singapura jika kebakaran berlaku dalam jarak yang dekat dan bertiup dari arah tenggara ke barat daya meniup asap jerebu dari kebakaran ke arah Singapura," kata MSS.
Susulan jangkaan cuaca yang lebih kering, MSS berkata Pasukan Petugas Jerebu Antara Agensi (HTF) kerajaan telah menyelaraskan pelan tindakan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan jerebu.
MSS turut menasihatkan orang ramai supaya membuat persediaan seperti memastikan mereka mempunyai pelitup muka N95 yang mencukupi selain memastikan penapis udara mereka berada dalam keadaan baik.
-- BERNAMA