Singapura rakam penghargaan insiden gempa Sabah - Wisma Putra
Astro Awani
Mac 31, 2016 22:38 MYT
Mac 31, 2016 22:38 MYT
Singapura merakamkan penghargaan kepada negara terhadap bantuan yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada Pasukan Bertindak Krisis mereka susulan tragedi gempa bumi di Sabah pada 5 Jun 2015.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar, penghargaan itu dizahirkan dengan menganjurkan Majlis Resepsi Penghargaan pada 2 April ini sempena lawatan Menteri Luar Negeri Republik Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan ke Sabah.
"Gempa bumi di Sabah berkenaan telah meragut 18 nyawa termasuk lapan warganegara Singapura. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman juga akan turut menganjurkan jamuan makan tengah hari bagi meraikan Menteri Luar Singapura pada 2 April 2016.
"Dalam lawatan tersebut, Dr Vivian Balakrishnan juga dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah dan beberapa Menteri Kerajaan Negeri yang lain," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, hubungan Malaysia dan Singapura adalah dalam keadaan baik dan mesra.
"Kedua-dua negara komited untuk meneruskan kerjasama rapat dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan, sosial, pendidikan, pertahanan dan keselamatan serta meningkatkan hubungan antara rakyat.
"Pada tahun 2015, Singapura merupakan rakan dagangan Malaysia yang kedua terbesar di peringkat global dan yang terbesar dalam kalangan negara ASEAN.
"Jumlah dagangan antara kedua-dua negara adalah sebanyak AS$59.5 bilion (RM190.6 bilion) pada tahun 2015," jelas kenyataan itu.