Singapura pertingkat protokol ujian untuk pengembara udara dari 3 Dis, tidak jejas VTL darat

Bernama
November 30, 2021 22:27 MYT
Singapura akan mempertingkat protokol ujiannya untuk pengembara yang tiba di republik itu mulai 3 Dis 2021, termasuk melalui VTL udara sebagai langkah tambahan untuk mengesan dan membendung varian Omicron. - Gambar fail/REUTERS
SINGAPURA: Singapura akan mempertingkat protokol ujiannya untuk pengembara yang tiba di republik itu mulai 3 Dis 2021, termasuk melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara sebagai langkah tambahan untuk mengesan dan membendung varian Omicron.
Semua pengembara menerusi VTL udara yang tiba selepas tarikh dan masa ditetapkan tamat, perlu menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) kendiri di Pusat Ujian Pantas Antigen pada hari ke-3 dan ke-7 ketibaan.
Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai COVID-19 republik itu, bagi peringkat pertama langkah tersebut akan dilaksanakan selama empat minggu dan akan disemak dan dilanjutkan jika perlu.
Bercakap pada sidang media maya di sini hari ini, pengerusi bersama MTF, Gan Kim Yong berkata langkah itu bagaimanapun tidak melibatkan VTL-Land (darat) dengan Malaysia.
Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu berkata risiko jangkitan import melalui skim VTL darat sudah dikurangkan menerusi sekatan perjalanan yang dikenakan Malaysia ke atas negara dan wilayah yang terjejas oleh Omicron.
"Laluan darat antara Singapura dan Malaysia agak berbeza daripada laluan udara. Pada masa ini, ia hanya terhad kepada warganegara dan pemegang pas jangka panjang, bermakna tidak ada warga asing yang dibenarkan menggunakan laluan tersebut.
"Jadi, terdapat pelbagai langkah yang dilaksanakan untuk mengurangkan risiko dan oleh itu, ujian ART tambahan hari ke-3 dan ke-7 pada masa ini mungkin tidak dilaksanakan untuk VTL darat antara Singapura dan Malaysia.
"Kami akan memantau keadaan dan melakukan penilaian risiko secara berterusan dan memperkenalkan langkah tambahan jika perlu. Buat masa ini, tiada rancangan untuk memperkenalkan ART tambahan bagi ketibaan melalui darat dari Malaysia," katanya.
Pengembara yang tiba di Singapura dari Malaysia melalui VTL darat hanya perlu melakukan ujian itu semasa ketibaan, kata Kementerian Perdagangan dan Perindustrian pada Ahad.
Menurut kementerian langkah itu diambil berikutan laporan mengenai varian virus baharu COVID-19, B.1.1.529, atau Omicron yang berpotensi lebih mudah berjangkit.
Di bawah langkah yang dipertingkatkan itu, antara lain semua pengembara udara yang memasuki atau transit melalui Singapura, termasuk dari negara atau wilayah Kategori I, mesti menjalani Ujian Pra-Berlepas dalam tempoh dua hari selepas berlepas ke Singapura.
Pengembara yang memasuki Singapura, termasuk dari negara Kategori II (bukan VTL), III dan IV, mesti menjalani ujian Reaksi Rantaian Polimerase (PCR) COVID-19 semasa ketibaan.
Berkuat kuasa 28 Ogos 2021, Singapura mengklasifikasikan negara atau setiap rantau kepada empat kategori, setiap satu dengan langkah sempadan yang berbeza.
Malaysia dan Singapura melancarkan VTL udara, dan darat semalam (29 Nov).
-- BERNAMA
#Singapura #protokol ujian #Pengembara #VTL #Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin #varian omicron #COVID-19
;