Singapura perketat syarat-syarat pas kerja
Bernama
Ogos 27, 2020 22:46 MYT
Ogos 27, 2020 22:46 MYT
Singapura menaikkan kriteria gaji bagi Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S semasa menetapkan syarat gaji lebih tinggi buat julung kalinya dalam sektor Perkhidmatan Kewangan.
Bagi EP, ia akan terus meningkat kepada S$4,500 bagi semua pemohon baharu mulai 1 Sept 2020, demikian menurut Kementerian Sumber Manusia (MOM) republik itu dalam laman sesawangnya.
Gaji kelayakan minimum bagi EP yang membolehkan profesional, pengurus dan eksekutif warga asing bekerja di Singapura telah dinaikkan kepada S$3,900 mulai 1 Mei 2020.
MOM berkata gaji yang layak bagi calon EP lebih tua serta berpengalaman pada usia 40-an akan dinaikkan dan kekal sekitar dua kali ganda gaji kelayakan minimum pemohon paling muda.
Bagi pemohon yang memperbaharui pas, semua kriteria gaji baharu ini akan berkuat kuasa mulai 1 Mei 2021.
"Kriteria kerajaan bagi meluluskan pas kerja telah dikemas kini secara berkala bagi membolehkan perniagaan berkembang dan menyokong peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan," menurut MOM.
Sejak pelarasan yang diumumkan dalam Bajet 2020 baru-baru ini, kerajaan telah memantau rapat kesan pandemik COVID-19 ke atas situasi ekonomi global dan domestik bagi menilai jika kemas kini lanjut perlu dibuat, katanya.
Mulai 1 Dis 2020, gaji kelayakan minimum bagi EP dalam sektor Perkhidmatan Kewangan akan terus dinaikkan kepada S$5,000 bagi pemohon baharu.
Kriteria gaji baharu bagi EP yang berkuat kuasa mulai 1 Sept 2020 akan turut diguna pakai dalam sektor Perkhidmatan Kewangan yang menurut kementerian itu "secara konsisten adalah lebih tinggi berbanding sektor lain."
MOM juga berkata gaji yang layak bagi calon EP lebih tua dan berpengalaman dalam sektor Perkhidmatan Kewangan akan dinaikkan dengan mereka yang berusia 40-an perlu memenuhi kriteria kira-kira dua kali ganda gaji kelayakan minimum untuk pemohon paling muda.
Bagi pemohon yang memperbaharui pas, semua kriteria gaji baharu ini akan berkuat kuasa mulai 1 Mei 2021.
Bagi Pas S yang membolehkan pekerja mahir peringkat pertengahan bekerja di Singapura, syarat gaji turut dinaikkan namun tiada perubahan terhadap levi dan kuota.
Gaji kelayakan minimum Pas S akan terus dinaikkan dari S$2,400 kepada S$2,500 dengan gaji yang layak bagi calon Pas S lebih tua dan berpengalaman dikaji semula.
Perubahan gaji kelayakan bagi Pas S akan terpakai kepada pemohon baharu mulai 1 Okt 2020 dan pemohon yang memperbaharui pas mulai 1 Mei 2021.
Tiada perubahan lanjut bagi levi dan kuota dalam pelarasan kali ini, menurut kementerian itu.
-- BERNAMA