Singapura percaya penubuhan dua negara penyelesaian terbaik konflik Israel-Palestin

Firdaus Azil
Februari 18, 2024 18:30 MYT
Ng berkata, Singapura telah menyuarakan pendiriannya di pentas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), serta dalam Parlimen, selain bertegas perlu ada gencatan senjata untuk tujuan bantuan kemanusiaan. - Foto Reuters
SINGAPURA: Singapura berpegang tegas kepada pendiriannya bahawa penubuhan dua negara adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan konflik di antara Israel dan Palestin.
Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen berkata, negara itu telah menyuarakan pendiriannya di pentas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), serta dalam Parlimen negara itu, selain bertegas perlu ada gencatan senjata untuk tujuan bantuan kemanusiaan.
“Singapura telah lama menyokong penyelesaian melalui penubuhan dua negara. Mengenai konflik ketika ini, kami amat menyokong usaha gencatan senjata untuk tujuan kemanusiaan. Kami telah menghantar bantuan melalui Pasukan Pertahanan Singapura kepada Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir untuk rakyat di Gaza.
“Kami juga telah membantu Perancis berkaitan hospital kapal di El Arish dan kami berharap kesemua pihak terlibat dapat menghentikan serangan supaya nyawa mereka yang tidak bersalah dapat diselamatkan,” katanya lagi.
Ng berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri Persidangan Keselamatan Munich di Singapura baru-baru ini, sebagai respons kepada kemelut di Asia Barat yang semakin meruncing.
Biarpun Singapura bukan pemain utama dalam merancang usaha keamanan antara Palestin dan Israel, namun Ng berkata negaranya akan terus bersuara dalam meyakinkan semua pihak tentang kepentingan mewujudkan hubungan diplomatik serta menggerakkan bantuan kemanusiaan.
“Saya tidak akan berlebihan dalam hal ini, kerana Singapura bukan pemain utama untuk sama ada proses mediasi atau membantu mencapai resolusi. Maksud saya kita semua tahu siapa pihak principal dalam soal ini.
"Tetapi saya fikir Singapura boleh bersama-sama dengan dunia untuk menggesa mereka mengurangkan ketegangan, menggalakkan penyelesaian diplomatik serta penghantaran bantuan kemanusiaan,” katanya lagi.
Dalam temu bual tersebut, beliau turut memberi keyakinan tentang kerjasama rapat antara Singapura dengan Malaysia dan China untuk memelihara keamanan perairan Asia Tenggara demi kemakmuran serantau.
Biarpun Singapura dan Malaysia mungkin berbeza pandangan dalam isu penindasan Israel ke atas Palestin, Ng berkata, negaranya telah menyertai Operasi Penjaga Kemakmuran (OPG), yang diketuai Amerika Syarikat untuk menghalang gangguan puak Houthi ke atas laluan perkapalan di Laut Merah.
"Saya rasa anda betul, pandangan kami (Malaysia dan Singapura) berbeza untuk sebab yang jelas tetapi Singapura sudah menyertai OPG, kerana ia sejajar dengan prinsip Singapura dalam komunikasi dan perhubungan di laut di sekeliling Singapura.
“Termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan. Jadi ia adalah prinsip yang penting untuk kami tegakkan, dan tujuan utama mengapa kami menyertai OPG,” katanya lagi.
Bercakap mengenai isu Laut Merah, Ng berkata, tiada pihak yang akan mendapat manfaat jika gangguan itu berterusan.
“Butiran mengenai dinamik perdagangan, pergantungan atau perdagangan laut yang datang melalui Terusan Suez adalah terhad, dan jika ia berterusan saya percaya ia akan mewujudkan gangguan lebih besar terhadap rantaian bekalan global. Jadi saya tidak fikir ia akan berfaedah kepada sesiapa pun jika keadaan ini berterusan,” katanya lagi.
Ditanya jika Singapura mungkin akan mengalihkan fokus untuk kerjasama lebih erat dengan China dan negara ASEAN bagi menangani isu Asia Barat, Ng berkata, Singapura sentiasa bersikap terbuka.
“Kami sentiasa bersikap terbuka dalam soal mempertahankan keamanan dalam navigasi dan perdagangan komersial.
"Kerana kami sebuah negara maritim, kami mempunyai (antara) pelabuhan yang terbesar di dunia, dan adalah menjadi harapan kami untuk memastikan prinsip antarabangsa ini dipegang dan dilaksanakan,” katanya lagi.
#Ng Eng Hen #kekejaman israel #Palestin #ASEAN
;