Singapura pasca Lee Hsien Loong: Cabaran bakal dihadapi Swee Keat

Irwan Muhammad Zain
November 25, 2018 10:58 MYT
Swee Keat dipilih kerana latar belakang politiknya yang meyakinkan bahawa beliau memahami asas-asas pembentukan Singapura dan dapat mengurus hubungan republik tersebut dengan negara jiran terutama Malaysia dan Indonesia. REUTERS/Fail
Pengganti Lee Hsien Loong bakal berdepan cabaran dalam bentuk tekanan untuk menjadi lebih terbuka, kata penganalisis ASEAN Adib Zalkapli, sambil menambah, adakalanya prinsip keterbukaan ini bertentangan dengan ideologi asas pembentukan Singapura,
Mengulas mengenai pemilihan Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat sebagai Naib Setiausaha Agung pertama Parti Tindakan Rakyat Singapura (PAP), Adib menjangkakan tidak akan berlaku perubahan besar dari segi asas-asas pembentukan Singapura apabila Swee Keat menggantikan Hsien Loong.
Ini kerana, latar belakang politik Swee Keat yang dibentuk dalam acuan yang sama seperti perdana menteri Singapura sebelum ini, membuatkan tidak akan berlaku perubahan besar dalam pentadbiran republik itu.
Selain itu, Swee Keat juga dijangka akan meneruskan dasar-dasar luar Hsien Loong yang sebelum ini dikenali sebagai sangat mesra ASEAN dan Malaysia.
"Kalau dilihat keutamaan dasar luar Singapura selama ini ialah, menjaga hubungan baik dari segi dagangan dan keselamatan, dengan dua negara yang mengelilingi republik itu iaitu Malaysia dan Indonesia.
"Dan dengan latar belakang Swee Keat sebagai ketua di Lembaga Kewangan Singapura dan kedudukannya sebagai menteri kewangan dan gayanya yang lebih lembut, kita melihat hubungan yang dibuat oleh perdana menteri Singapura hari ini akan diteruskan oleh Swee Keat.
"Jadi, adalah dijangkakan bahawa tidak banyak perubahan akan berlaku apabila Swee Keat mengambil alih pentadbiran nanti," katanya kepada Astro AWANI.
Swee Keat dipilih kerana latar belakang politiknya yang meyakinkan bahawa beliau memahami asas-asas pembentukan Singapura dan dapat mengurus hubungan republik tersebut dengan negara jiran terutama Malaysia dan Indonesia.
Beliau dipilih oleh Suruhanjaya Eksekutif Pusat PAP untuk jawatan Naib Setiausaha Agung I parti itu, satu jawatan yang baharu diperkenalkan.
Jawatan itu di bawah seliaan Setiausaha Agung PAP yang kini disandang Hsien Loong yang berjanji akan meletak jawatan dalam tempoh beberapa tahun lagi.
#Adib Zalkapli #Heng Swee Keat #Indonesia #Lee Hsien Loong #Malaysia #Naib Setiausaha Agung 1 #PAP #Parti Tindakan Rakyat Singapura #Perdana Menteri #Setiausaha Agung #Singapura
;