Singapura mungkin benarkan 500 individu lengkap divaksinasi hadiri majlis menjelang akhir Julai

Bernama
Julai 7, 2021 04:00 MYT
MTF berkata kebenaran itu tertakluk jika keadaan terus stabil dan sekurang-kurangnya separuh penduduk sudah lengkap divaksin. -Gambar fail/Reuters
SINGAPURA: Singapura pertimbang untuk membenarkan sehingga 500 individu yang lengkap divaksin untuk berada di sesuatu venue atau menghadiri aktiviti menjelang akhir bulan ini, menurut Pasukan Petugas COVID-19 Pelbagai Kementerian (MTF) pada Rabu.
Bagaimanapun, MTF berkata kebenaran itu tertakluk jika keadaan terus stabil dan sekurang-kurangnya separuh penduduk sudah lengkap divaksinasi.
Aktiviti atau venue yang dimaksudkan termasuk pawagam, pusat ibadat, acara MICE (perjumpaan, insentif, persidangan dan pameran), persembahan secara langsung, sukan dan majlis perkahwinan.
"Kami menjangkakan 50 peratus penduduk menerima dua dos vaksin menjelang 26 Julai. Lepas itu barulah saya fikir kita boleh buka semula lebih banyak (kegiatan ekonomi dan sosial)," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semasa sidang media maya di sini, pada Rabu.
Ong yang juga Pengerusi bersama MTF berkata sudah tiba masa untuk Singapura mempunyai hala tuju lebih jelas ke arah endemik COVID-19 selepas mencapai sasaran 50 peratus vaksinasi.
"Setakat ini vaksinasi kita untuk dua dos menghampiri 40 peratus. Kita masih perlu berhati-hati, " katanya.
Selain itu, MTF juga bercadang menambah jumlah penyertaan perjumpaan sosial kepada lapan orang.
Bagi aktiviti lebih berisiko, yang tidak perlu memakai pelitup muka ketika berada di dalam bangunan seperti makan di restoran, MTF menyatakan saiz kumpulan sehingga lapan orang hanya dibenarkan untuk mereka yang lengkap divaksin, jika tidak, hanya lima sahaja dibenarkan seperti sebelum ini.
Dalam sidang media sama, MTF juga mengumumkan mulai 12 Julai, lima orang dalam satu kumpulan dibenarkan makan di restoran.
Majlis perkahwinan juga boleh dianjurkan dengan tetamu tidak melebihi 250 orang dengan Ujian Pra-Acara (PET), sementara gim dan studio kecergasan dibenarkan tidak memakai pelitup muka untuk aktiviti luar atau bersenam dalam kumpulan sehingga lima orang.
Selain itu, kerja dari rumah akan terus dilaksanakan bertujuan mengurangkan interaksi keseluruhan di tempat kerja dan pengangkutan awam, katanya.
Setakat 5 Julai, Singapura telah memberikan 5,858,571 dos vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi kebangsaan. Jumlah tersebut merangkumi 3,670,862 individu dengan 2,187,709 daripadanya sudah menerima dos kedua.
-- BERNAMA
#Singapura #COVID-19 #kelonggaran #vaksinasi #MTF #vaksin #akhir julai #Ong Ye Kung #Pasukan Petugas COVID-19 Pelbagai Kementerian
;