Singapura Memilih 2015: Menjelang 12 tengah hari, lebih 50 peratus keluar mengundi
Hafiz Marzukhi
September 11, 2015 09:26 MYT
September 11, 2015 09:26 MYT
Sebanyak 832 pusat mengundi untuk Pilihan Raya Singapura dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 2.46 juta pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Rakyat Singapura bakal memilih 89 anggota parlimen di 29 kawasan pilihan raya dalam pilihan raya pertama negara itu selepas kematian pengasasnya, Lee Kuan Yew, Mac tahun ini.
Ini merupakan pilihan raya ketiga untuk Perdana Menteri dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lee Hsien Loong.
Dalam pilihan raya umum 2011, PAP mengekalkan kuasanya dengan memenangi 81 daripada 87 kerusi parlimen.
Selain daripada parti memerintah, PAP, lapan parti lain turut bertanding dalam pilihan raya kali ini.
Parti berkenaan ialah Parti Pekerja, Parti Rakyat Singapura (SPP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Parti Reform (RP), Parti Warga Diutamakan (SF) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Kesemua pusat pengundian dijadualkan tutup pada jam 8 malam nanti.
Keputusan dijangka mula diumumkan sekitar tengah malam.
Ini kali pertama dalam sejarah Singapura, kesemua kerusi ditandingi.