Singapura, Malaysia runding isu pekerja ulang-alik

Bernama
Mei 28, 2020 05:45 MYT
Singapura dan Malaysia juga sedang berbincang berhubung laluan khas melibatkan perjalanan penting melalui udara pada jumlah yang terhad dengan perlindungan, dapat dilaksanakan dengan selamat. - Gambar fail
Singapura sedang berbincang dengan Malaysia berhubung isu berkaitan pekerja yang ingin berulang-alik setiap hari menerusi jalan darat, kata Menteri Pembangunan Negara republik itu, Lawrence Wong.
Walaupun kedua-dua negara melaksanakan langkah perjalanan yang lebih ketat ketika ini untuk mengekang penyebaran COVID-19, Wong berkata kedua-dua pihak perlu melihat cara terbaik memenuhi keperluan pekerja.
"Kami sedang meneliti untuk melaksanakan protokol yang diperlukan sama ada melakukan ujian terhadap pekerja atau mensyaratkan mereka dikuarantin," katanya pada sidang media maya Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Mengenai COVID-19 pada Khamis.
Wong yang merupakan pengerusi bersama pasukan petugas itu ditanya sama ada republik itu telah mengadakan perbincangan dengan Malaysia berhubung kemungkinan membenarkan pekerja berulang-alik setiap hari dari Johor.
Wong menegaskan perkara yang paling penting ialah perlu ada langkah berjaga-jaga dan perlindungan yang baharu.
"Ia tidak akan sama seperti sebelum ini yang mana terdapat jumlah yang tinggi orang berulang-alik setiap hari menerusi jalan darat.
"Saya tidak fikir mana-mana pihak mahu melihat perkara ini terjadi tanpa ada langkah berjaga-jaga dalam persekitaran baharu COVID-19 ini," katanya.
Wong berkata Singapura juga sedang berbincang dengan Malaysia berhubung laluan khas melibatkan perjalanan penting melalui udara pada jumlah yang terhad dengan perlindungan, dapat dilaksanakan dengan selamat.
-- BERNAMA
#COVID-19 #jalan darat #laluan khas #Malaysia #Pekerja #pekerjaan #perjalanan penting #protokol #Singapura #udara #ujian saringan #ulang alik
;