Singapura mahu kukuhkan perkongsian, majukan kepentingan negara, kata PM baharu

Bernama
Mei 15, 2024 00:13 MYT
Wong menyatakan Singapura juga akan terus berhubung dengan kedua-dua Amerika Syarikat dan China, walaupun isu-isu pasti timbul di antara mereka. - Gambar fail/Pejabat Perdana Menteri Singapura
SINGAPURA: Perdana Menteri baharu Singapura, Lawrence Wong berkata kerajaannya akan memperkukuhkan perkongsian "dekat dan jauh" sambil memajukan kepentingan negara di tengah-tengah persaingan dan ketegangan yang meningkat di arena antarabangsa.
Wong, 51, dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah sebagai ketua kerajaan di Istana, menyatakan Singapura juga akan terus berhubung dengan kedua-dua Amerika Syarikat dan China, walaupun isu-isu pasti timbul di antara mereka.
"Kita kini menghadapi dunia konflik dan persaingan. Kuasa-kuasa besar sedang bersaing untuk membentuk orde global baru yang belum ditafsirkan.
Perubahan ini akan ditandakan dengan ketegangan geopolitik, serta fahaman perlindungan dan nasionalisme yang menular di mana-mana. Ia kemungkinan akan berlanjutan selama bertahun-tahun, jika bukan berdekad," kata Wong sambil menambah bahawa Singapura berusaha untuk menjadi kawan kepada semua sambil menegakkan hak dan kepentingannya.
Wong berkata sebagai sebuah negara kecil, Singapura tidak dapat mengelak dari arus kuat yang berlawanan, oleh itu ia harus bersedia dan menyesuaikan diri dengan dunia yang lebih berantakan, berisiko dan lebih ganas pada masa depan.
Perdana Menteri berkata Singapura tidak asing dengan keadaan luar yang sukar dan telah berjaya melalui badai bahkan muncul lebih kuat disebabkan tahap kepercayaan rakyat yang tinggi dan kemampuan mereka untuk bekerjasama dengan baik.
Wong yang berucap dalam Bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris, juga berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dan mendapatkan sokongan serta kepercayaan mereka saat beliau dan pasukannya memulakan perjalanan baharu untuk membawa Singapura ke hadapan.
"Kami akan memimpin dengan cara kami sendiri. Kami akan terus berfikir dengan berani dan jauh. Masih banyak lagi halaman untuk ditulis dan bab terbaik kisah Singapura masih berada dalam masa hadapan," katanya.
Wong berkata sebagai Perdana Menteri, salah satu keutamaan beliau ialah mengenal pasti dan memujuk orang Singapura yang lebih muda, lelaki dan wanita dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an, untuk menyertai pasukan yang dapat membuat perbezaan dan menyediakan rakyat dengan kerajaan yang mereka layak dapati.
Perdana Menteri juga memberi penghormatan kepada pendahulunya, termasuk Perdana Menteri Ketiga, Lee Hsien Loong, yang kini berkhidmat dalam Kabinetnya sebagai Menteri Kanan. Wong, menggantikan Lee, 72, yang memimpin Singapura hampir 20 tahun.
"Di bawah kepimpinannya, Singapura telah mengemudi perubahan domestik luar dan mengatasi pelbagai krisis. Kita amat terhutang budi kepadanya," kata Wong yang menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.
Sebelum itu, Wong dan Kabinetnya telah mengangkat sumpah dalam satu upacara yang disaksikan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Ketua Hakim Sundaresh Menon, menandakan permulaan rasmi kepimpinan generasi keempat (4G) Singapura.
Sementara itu, Presiden dalam ucapannya, mengucapkan terima kasih kepada Lee atas kepimpinannya yang luar biasa dan pengabdian hidupnya semasa berkhidmat kepada negara, terutamanya semasa krisis kewangan dan pandemik COVID-19.
"Pada tahun 2004, ketika Encik Lee mengangkat sumpah, beliau berjanji untuk 'menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Singapura', dan tidak akan meninggalkan sesiapa di belakang. Beliau telah menunaikan janji itu," kata Tharman.
Dalam menyambut Perdana Menteri baharu, Presiden berkata beliau yakin sepenuhnya dengan kemampuan Wong untuk memimpin Singapura dan mencipta bab seterusnya dalam kisah Singapura.
"Sebagai Presiden, saya komited untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri dan kerajaannya," katanya.
-- BERNAMA
#COVID19 #krisis kewangan #dunia konflik #masa depan
;