Singapura lulus rang undang-undang perkukuh keharmonian kaum

Bernama
Februari 4, 2025 06:10 MYT
Parlimen Singapura pada Selasa meluluskan rang undang-undang yang akan menyatukan dan memperkukuh kuasa kerajaan, termasuk memperkenalkan RO bagi mengekalkan keharmonian kaum. - Gambar fail
SINGAPURA: Parlimen Singapura pada Selasa meluluskan satu rang undang-undang yang akan menyatukan dan memperkukuh kuasa kerajaan, termasuk memperkenalkan penggunaan Perintah Sekatan (RO) bagi mengekalkan keharmonian kaum serta menangani ancaman berkaitan di negara itu.
Rang Undang-Undang Mengekalkan Keharmonian Kaum (Rang Undang-Undang RH) dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang, K. Shanmugam bersama Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling.
Ia dibacakan bersama Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Republik Singapura, yang meminda kuasa Presiden di bawah Perlembagaan bagi melaksanakan cadangan dalam Rang Undang-Undang RH.
Antara langkah yang diperkenalkan dalam Rang Undang-Undang RH ialah rejim RO bagi menangani kandungan yang memudaratkan keharmonian kaum, pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani insiden perkauman, serta perlindungan bagi menghalang entiti berasaskan kaum daripada digunakan sebagai saluran pengaruh asing.
Pendekatan berasaskan komuniti yang dikenali sebagai Inisiatif Pemulihan Komuniti (CRI) memberi peluang kepada pesalah untuk memulihkan hubungan dengan komuniti yang terkesan akibat tindakan mereka.
"Rang Undang-Undang RH bukan penyelesaian menyeluruh kepada semua cabaran berkaitan kaum, tetapi ia merupakan isyarat jelas terhadap iltizam kita untuk kekal bersatu sebagai satu bangsa," kata Shanmugam.
Beliau turut memetik tinjauan 2024 melibatkan lebih 1,000 penduduk Singapura yang mendapati orang ramai menyokong pelbagai cadangan dalam Rang Undang-Undang RH.
Sementara itu, Sun berkata, Klausa 8 Rang Undang-Undang RH membolehkan Menteri Ehwal Dalam Negeri mengeluarkan RO terhadap individu yang terlibat dalam komunikasi, penghasilan atau pengedaran kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum di Singapura.
Bagaimanapun, pengeluaran RO akan tertakluk kepada perlindungan ketat, termasuk semakan oleh Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH) yang akan ditubuhkan di bawah Rang Undang-Undang ini.
Individu yang dikenakan RO berkaitan kandungan perkauman juga boleh mengemukakan representasi kepada PCRRH.
Rang Undang-Undang RH turut menetapkan bahawa entiti berasaskan kaum tertakluk kepada langkah asas pengaruh asing, termasuk keperluan untuk mendedahkan sumbangan asing dan tanpa nama yang diterima, hubungan dengan pihak luar negara serta komposisi kepimpinan mereka.
Sun berkata Klausa 15 memberi kuasa kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menetapkan sesebuah entiti berasaskan kaum jika dianggap perlu atau wajar bagi mencegah, mengelakkan atau mengurangkan sebarang pengaruh asing yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara itu.
Sesuatu entiti boleh dikategorikan sebagai entiti berasaskan kaum jika ia mewakili atau mempromosikan kepentingan sosial, ekonomi, politik, pendidikan, linguistik, budaya atau lain-lain kepentingan sesuatu kaum, atau membincangkan isu berkaitan kaum tertentu.
Pada peringkat awal, persatuan kaum dan perniagaan yang dikaitkan dengan kaum Cina, Melayu dan India akan dikategorikan di bawah Rang Undang-Undang ini.
"Kami memerlukan masa untuk menilai entiti dalam kategori ini sebelum dapat memaklumkan sama ada mereka akan ditetapkan sebagai entiti berasaskan kaum," katanya.
Sun menambah bahawa entiti yang ditetapkan perlu mematuhi keperluan kepimpinan, termasuk memastikan pegawai bertanggungjawab mestilah warganegara Singapura atau Penduduk Tetap Singapura, dan majoriti anggota badan pentadbiran atau mana-mana individu yang menjalankan fungsi serupa mestilah warganegara Singapura.
Rang Undang-Undang RH mengambil rujukan daripada perundangan sedia ada, termasuk Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) yang digubal pada 1990 bagi mengekalkan keharmonian agama.
-- BERNAMA
#Singapura #Rang Undang-Undang #keharmonian kaum #perintah sekatan
;